Seorang bapa terkedu melihat anak gadisnya berusia 18 tahun diculik di hadapannya di daerah Sircilla, Telangana, India pada Selasa. Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah usai sembahyang di kuil bersama bapanya.
Insiden yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan sebuah kereta tiba di lokasi kejadian sebelum secara tiba-tiba tiga lelaki melompat keluar dari sebuah kereta. Sejurus penculik keluar dari kereta tersebut, salah seorang daripada mereka menangkap mangsa dan mengheretnya masuk ke dalam kenderaan berkenaan. Kelihatan juga bapa mangsa cuba mengejar kereta berkenaan tetapi gagal apabila dua lagi penculik menghalangnya.
Ketiga-tiga suspek kemudian masuk ke dalam kereta dan rakan mereka yang memandu segera beredar dari tempat kejadian. FB Majoriti Menurut polis, kes mengenai kejadian difailkan sebelum tiga pasukan khas dikerahkan untuk menangkap mereka dan menyelamatkan gadis yang hilang itu. Berdasarkan laporan media, polis berkata, salah seorang daripada empat suspek mempunyai hubungan dengan mangsa dan didakwa mereka pernah kahwin lari sebelum ini. Satu kes turut didaftarkan terhadapnya sebelum ini kerana didakwa lelaki tersebut pernah melarikan diri dengan gadis itu. Di sebalik insiden itu, mangsa yang bernama Goli Shalini akhirnya mengeluarkan sebuah video dan memberitahu bahawa penculikan tersebut merupakan rekaan dengan kekasihnya agar dapat melarikan diri bersama-sama. Shalini berkata, dia bercinta dengan John sejak empat tahun lalu, namun ditentang ibu bapanya yang sudah mempersiapkan calon pengantin lelaki lain buatnya. Menurut polis, remaja perempuan itu melarikan diri dengan John dan kedua-duanya berkahwin secara rahsia. Shalini memberitahu polis bahawa dia dan kekasihnya kini berdepan ancaman nyawa daripada ibu bapanya dan berharap mendapat perlindungan keselamatan daripada pihak berkuasa. Sumber: Majoriti |
ADVERTISEMENT