Syarikat Jepun, eKod Works bakal mengeluarkan peranti tiruan, AcryPhone yang berfungsi mengatasi ketagihan pengguna memegang telefon pintar. AcryPhone adalah sekeping akrilik halus seperti telefon pintar, namun tidak mempunyai skrin sebenar, pembesar suara mahupun lampu LED kecil.
Ia direka khusus supaya muat di tapak tangan bagi membolehkan pengguna melepaskan diri seketika daripada telefon pintar sebenar dengan lebih mudah. AcryPhone didatangkan dalam dua varian iaitu versi akrilik asas berharga AS$25 (RM110.72) atau versi lebih realistik AS$26.5 (RM117.36) yang disertakan dengan lapisan plastik perlindungan skrin walaupun tidak mempunyai skrin.
Dengan ukuran 146 milimeter (mm) x 71 mm x 8 mm, AcryPhone serasi dengan sarung telefon pintar yang sesuai dengan saiznya serta penutup lensa kamera, jika pengguna mahu menjadikannya kelihatan seperti telefon pintar sebenar. Pengguna yang berminat boleh membuat pratempahan di kedai rasmi eKod Works dan penghantaran dijadualkan bulan depan. Pada 2014, sebuah syarikat pernah mengeluarkan produk hampir sama dengan AcryPhone iaitu NoPhone, plastik berbentuk seperti iPhone yang direka Klemens Schillinger dari Austria. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT