Ernie Zakri berkongsi pernah berdepan dengan masalah berat badan selepas bersalin hingga menitiskan air mata di depan suaminya, Syamel. Ernie berkata, tidak mudah untuk menurunkan berat badan selepas bergelar ibu serta memahami situasi kaum wanita yang berdepan masalah sama.
"Saya pernah mengadu kepada Syamel sehingga menitiskan air mata kerana kesukaran untuk mendapatkan berat badan ideal selepas melahirkan anak. "Jadi, saya faham perasaan Uyaina apabila berhadapan 'body shaming' yang dilemparkan oleh segelintir pihak. Proses setiap individu tidak sama. "Ada yang mudah untuk menurunkan berat badan dan ada juga yang mengambil sedikit masa untuk kembali mendapatkan berat badan ideal," katanya.
Ernie sedar perlu menerima penampilan fizikal dan fokusnya kini menjaga kesihatan diri selepas melahirkan anak. Lebih-lebih lagi, apabila usia sudah menginjak fasa 30-an. Jelas Ernie, fokus dan visi utamanya pada ketika ini adalah kesihatan dalaman berbanding bentuk tubuh yang kurus semata-mata. "Saya lebih mengutamakan kesihatan dalaman yang perlu pulih sepenuhnya selepas melahirkan anak. Itu yang menjadi fokus utama berbanding bentuk tubuh.
"Biarlah proses itu mengambil sedikit masa, asalkan dalaman sihat. Memang tidak dinafikan penampilan penting bagi selebriti, tetapi tidak perlu tergesa-gesa," katanya.
Ernie mendirikan rumah tangga dengan Syamel pada 22 Mac tahun lalu. Hasil dari perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Khawla Soleha, berusia sembilan bulan. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|