Polis Uttar Pradesh menahan tiga suspek di Greater Noida, India, selepas menemui pasport palsu bintang filem, Aishwarya Rai bersama mereka. India Times melaporkan, suspek yang ditahan dikenal pasti sebagai Eke Uferemvukwe, Okoloi Damion, kedua-duanya dari Nigeria, dan Adwin Collines, asal Ghana.
Penemuan pasport itu mendorong pihak berkuasa untuk menyoal siasat suspek mengenai rancangan mereka untuk mencuri. Bagaimanapun, tidak jelas sama ada pasport itu digunakan untuk aktiviti tertentu. Difahamkan, kumpulan itu bertanggungjawab atas penipuan dengan mendakwa kononnya memiliki firma bekalan perubatan.
Kumpulan sama menggunakan aplikasi dating untuk melakukan penipuan. Berdasarkan laporan Navbharat Times, polis menemui pasport palsu yang menggunakan gambar Aishwarya. Pada pasport itu, tertera tarikh lahir 18 April 1990, dan bandar Bhavnagar, Gujarat di ruangan tempat lahir. Polis turut menemui semula peralatan dan wang tunai berjumlah 2.5 lakh (kira-kira RM13,355), selain 11 crore (kira-kira RM5.9 juta) dalam bentuk wang palsu daripada suspek. Mereka juga berjaya mendapatkan kembali 11,000 pound sterling (kira-kira RM59,104) yang dicuri oleh kumpulan itu. Polis kemudian menyiasat suspek mengenai dokumen individu terkenal dipalsukan pasukan itu. Hasil siasatan mendapati kumpulan itu melakukan penipuan dengan bertindak menyamar sebagai wakil syarikat lain, termasuk Syarikat Abbott Pharmaceuticals. Mereka juga menipu seorang kolonel bersara. Suspek yang ditahan tidak mempunyai visa dan pasport sah. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT