Pelbagai sektor ekonomi termasuk industri kreatif mula menaruh harapan agar Kerajaan Perpaduan yang dibentuk di bawah pimpinan Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memperkasakan agenda pembangunan demi kelangsungan hidup pekerja di setiap lapangan.
Tidak hairanlah, sektor swasta termasuk agensi kerajaan mula memberi syor sistem penyampaian sedia ada dapat dioptimumkan atau kaedah baharu lebih efisien dan efektif diperkenalkan. Begitu juga rata-rata penggerak industri seni yang menuntut pelbagai penambahbaikan dilakukan Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil agar cabang ekonomi dapat terus berada di landasan sepatutnya. Mewakili suara penggiat seni tanah air, pengarah dan pelakon versatil, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Ogy menyarankan pertemuan antara Fahmi dan anak seni diatur agar perbincangan berhubung permasalahan industri kreatif dapat dibuat.
"Diharap Menteri Komunikasi dan Digital dapat meluangkan masa bertemu penggiat seni dan ini bagi saya, sangat penting. "Fahmi perlu tahu masalah sebenar dalam industri, jika tidak bagaimana mahu selesaikan masalah," katanya kepada BH Online. Selain itu, Ogy berharap Fahmi dapat memanfaatkan sebaik mungkin kapasitinya sebagai menteri dalam tempoh lima tahun pemerintahan Kerajaan Perpaduan. "Fahmi seharusnya mempamerkan prestasi terbaik dan berikan apa yang sepatutnya untuk industri seni untuk terus berkembang. "Turun padang mengenali warga penggiat seni. Kami akan bercerita apa yang seharusnya dilakukan, itu adalah caranya. "Sudah tentu saya bersedia jika perlu bersemuka dengan beliau," katanya. Awal bulan ini, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dilantik Menteri Komunikasi dan Digital bagi melengkapkan pembentukan Kabinet di bawah kepimpinan Anwar. Fahmi pernah berkecimpung dalam bidang seni sebagai seorang penulis skrip, pelakon dan pengarah. Malah, beliau juga pernah menggalas peranan sebagai watak tambahan dalam drama Gol & Gincu pada 2006, selain membintangi beberapa teater tempatan. Sumber: BH Online |
ADVERTISEMENT