Hana Adnan hilang sabar dah dengan Watie Sadali yang masih dengil tak nak buat pembayaran ansuran sebanyak RM2,500 sebulan seperti mana dipertintahkan Mahkamah Sesyen Selayang pada 2017.
Hana kata dia tak pernah bayar satu sen pun, apatah lagi untuk bertemu dengannya bagi mencari jalan tengah sekiranya sukar melunaskan bayaran ditetapkan mahkamah. "Saya masih berlembut hati untuk dia datang kepada saya seandainya dia mempunyai masalah membayar ganti rugi yang diperintahkan mahkamah. "Seandainya dia masih anggap saya sebagai kawan, setidaknya beritahu saya jika dia hanya mampu bayar sedikit... bukannya diam dan tidak ada usaha buat sebarang bayaran," katanya kepada mStar Online. Sebagai info, pada 10 Mac 2015, Hana memenangi saman terhadap Watie berhubung kegagalan pelakon itu menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya untuk membeli kenderaan jenis Toyota Wish. Hana mendakwa dirinya membuat pinjaman bank kenderaan itu sekitar September 2005 bagi pihak Watie sebanyak RM150,000 kerana pelakon terbabit tidak layak membuat pinjaman. Namun, Watie gagal mematuhi syarat ditetapkan seperti membayar ansuran bulanan, cukai jalan, insurans dan perkara berkaitan sejak September 2010 sehingga menyebabkan Hana diisytiharkan muflis. Bagaimanapun, pada 18 Mei 2017, Hana memfailkan tuntutan saman penghutang penghakiman terhadap Watie selepas dia gagal membayar ganti rugi yang ditetapkan mahkamah pada 28 Ogos 2014. Mahkamah Sesyen Selayang memerintahkan pelakon itu membayar ansuran sebanyak RM2,500 sebulan kepada Hana sebagai penyelesaian bayaran tuntutan ganti rugi sebanyak RM707,351.83. Hana bertambah kecewa bila tahu Wati hidup mewah dan perniagaan banyak untung. "Kawan saya pun selalu nampak dia berniaga menerusi TikTok, malah ada mendakwa melihat Watie membeli dua pasang kasut berjenama mewah. "Melihatkan kelakuannya itu membuatkan saya sedih kerana sembilan tahun saya menderita kerana hutang tetapi dia boleh hidup senang-lenang." Hana kata dia terpaksa tunggu tiga tahun untuk buka semula fail kes berkenaan di mahkamah sebab nak kumpul duit bayar peguam. "Kalau tanya saya kenapa baru sekarang nak failkan, jawapannya sebab saya tak ada duit nak bayar peguam. "Tiga tahun ini saya ambil masa kumpul duit, lebih-lebih lagi waktu pandemik... semua orang struggle tiada pekerjaan." Hana memberitahu kes tersebut akan disebut semula pada 29 Disember ini dan sekiranya Watie gagal membayar ganti rugi kepadanya, aktres itu berdepan hukuman penjara. Kata Hana, ini adalah usaha terakhirnya untuk menuntut keadilan selepas bertahun-tahun menjadi mangsa kepada rakan sendiri. -CARI |
ADVERTISEMENT