Sharnaaz Ahmad sudah kurang berminat memegang watak hero bagi drama genre romantik kerana merasakan ia sudah tidak bersesuaian. Disebabkan itu, Sharnaaz atau Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 37, berkata, dia tidak kisah sekiranya peranan itu diberikan kepada wajah-wajah baharu dalam industri lakonan.
"Saya masih lagi mendapat tawaran drama cinta tetapi sekarang rasa dah kurang minat. Bukan kata tak mahu terima langsung tapi bergantung kepada tawaran diberi. "Kalau jalan ceritanya berat saya ambil, tapi kalau yang ringan dan hanya kisah cinta semata, berilah kepada pelakon BBNU," katanya kepada mStar.
Shaarnaz berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media The Masked Singer Malaysia (TMSMY) musim ketiga yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Dalam pada itu, Sharnaaz tidak menafikan penonton kini lebih suka menonton wajah-wajah baharu yang masih segar. Sebagai pelakon, dia menerima kenyataan itu dan tidak berkecil sekiranya pelakon BBNU semakin mendapat perhatian ramai.
"Penonton sekarang lebih suka melihat pelakon yang muka 'lembut' lagi. Saya ni dah 'keras'. Kita perlu terima dan jangan berkecil hati apabila pelakon BBNU mula mendapat perhatian daripada stesen televisyen. "Namun, bagi saya apa paling penting mereka perlulah berbakat dan bukanlah sekadar ingin berlakon," ujarnya. Sementara itu, pelakon Bukan Kerana Aku Tak Cinta ini turut mengakui memilih pasangan berlakon bagi memudahkannya beraksi di hadapan kamera.
Menurut Sharnaaz, dia pernah bergandingan bersama seorang pelakon yang tidak boleh berlakon dan ia memberikan kesukaran buatnya ketika berada di set penggambaran. "Saya memilih juga untuk berlakon dengan siapa. Yang penting dia boleh berlakon. Saya pernah dapat pelakon yang tak boleh berlakon. Payah nak cakaplah. "Kita bukan nak kata dia tu tak bagus. Mungkin belum bagus lagi kerana kurang praktis dan masih baharu. Jadi, kita tak boleh nak salahkan mereka juga," katanya.
Bagaimanapun, Sharnaaz berpendapat seorang pelakon yang sudah lama berada di dalam industri tidak sepatutnya digandingkan bersama pelakon baharu. Jika mahu memberikan tawaran kepada pelakon baharu, pilih pasangan yang sama level dengan mereka supaya sama-sama dapat membantu untuk jadi lebih baik. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|