Seorang lelaki dari Mumbai, India terkejut apabila melihat gambar isteri dan adik perempuannya di sebuah laman web semasa ingin melanggan tukang urut.
Setelah membuat siasatan, dia mendapati gambar isteri dan adiknya diambil tanpa kebenaran sebelum digunakan di laman web berkenaan. Jelas dua wanita itu, gambar tersebut telah dimuat naik di media sosial mereka kira-kira empat tahun lalu. Lelaki itu kemudiannya menghubungi nombor yang tertera untuk tempahan bagi memerangkap individu yang menggunakan gambar isteri dan adiknya. Dia kemudiannya meminta wanita yang menggelarkan diri sebagai Reshma Yadav itu untuk menemuinya di sebuah hotel berdekatan.
Apabila tiba di lokasi dijanjikan, pergaduhan tercetus antara mereka berdua dan wanita itu cuba melarikan diri. Bagaimanapun, lelaki itu berjaya menghalang Reshma lari dan terus membawanya ke balai polis. Hasil siasatan polis, Reshma ditahan apabila disyaki menjadi sebahagian daripada kumpulan penjenayah yang memuat naik gambar wanita cantik di laman web servis tukang urut. Reshma dihadapkan ke mahkamah dan dia ditahan dalam tahanan kehakiman berhubung kes yang didakwa. Pihak polis masih lagi mencari saki-baki kumpulan Reshma yang terlibat dalam jenayah penipuan itu. Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati semasa memuat naik gambar di media sosial dan memastikan profil dikunci supaya tidak disalahgunakan pihak tertentu. - CARI Sumber: mStar/India Today
|
ADVERTISEMENT