Terikat dengan syif dan waktu kerja yang lama, apatah lagi gaji tidak setimpal dengan bebanan tugas membuat anak muda kini tidak berminat bekerja dalam industri perhotelan.
Kebanyakan mereka kini lebih selesa bekerja sendiri terutama dalam bidang penghantaran makanan dan menjadi pemandu e-hailing kerana tidak terikat dengan masa. Di Langkawi, Kedah, seorang pekerja sepenuh masa di sebuah restoran francais, Rosniesya Iliyani Roslan, 23, berkata, dia berasa kerja dalam industri perhotelan sangat memenatkan ketika menjalani latihan industri dalam bidang itu pada 2019. “Saya kerja di bahagian dapur dan kami mula bekerja seawal pukul 4 pagi untuk menyediakan sarapan. Jika hendak berhenti solat subuh, kami perlu menunaikan solat dengan tergesa-gesa.
“Sepanjang waktu bekerja, kami juga tidak sempat untuk duduk langsung dan perlu sentiasa berdiri sehinggalah waktu bekerja habis,” katanya. Seorang pelajar jurusan farmasi di universiti swasta, Shafika Ali, 25, berkata, walaupun banyak peluang pekerjaan separuh masa dalam bidang perhotelan ditawarkan di Langkawi, namun dia tidak berminat untuk bekerja. “Ketika mencari kerja sambilan, saya banyak ternampak iklan jawatan kosong di hotel-hotel, tetapi saya tidak mahu bekerja di hotel kerana saya difahamkan waktu kerjanya adalah terlalu lama dan gaji pula tidak setimpal. “Walaupun tidak banyak peluang pekerjaan sambilan bagi jurusan yang saya pelajari, tetapi saya lebih rela bekerja di tempat lain berbanding di hotel,” ujarnya yang kini bekerja di kedai barang penjagaan diri di Kuah. Di George Town, Pulau Pinang, kebanyakan anak muda mendakwa mereka tiada hati lagi untuk bekerja di hotel disebabkan tidak sanggup melayan kerenah birokrasi penyelia. Seorang bekas pekerja hotel, Aswad Abdullah, 39, berkata, dia memilih untuk tidak lagi kembali bekerja di hotel selepas pasca Covid-19 berikutan enggan terikat dengan jadual kerja serta arahan penyelia atau majikan. Menurutnya, dia kini sudah selesa bekerja sebagai rider makanan dengan memperoleh pendapatan yang jauh lebih besar berbanding di hotel. “Saya memang tidak akan kembali bekerja semula di hotel iaitu di bahagian front office. Tawarlah gaji banyak mana pun, saya tetap tak mahu. Bukan setakat itu, kita terpaksa menggantikan tugas pekerja lain yang tidak hadir,” katanya. Seorang pemandu e-hailing yang mahu dikenali sebagai Ayyash, 39, memberitahu, dia sudah serik dan trauma untuk bekerja dalam industri perhotelan susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara dua tahun lalu sehingga menjejaskan sumber pendapatan bulanannya. “Saya menanggung isteri dan tiga orang anak yang masih kecil. Bayangkan dengan menerima setengah bulan gaji ketika itu, saya terpaksa berhutang keliling pinggang,” ujarnya. Di Ipoh, Perak, seorang pekerja kedai nasi kukus, Mohd. Mukhsin Mohd. Isa, 29, berkata, dia pernah bertanyakan kepada sebuah hotel di bandar ini mengenai kekosongan kerja dan kemudian diberi tawaran gaji yang rendah iaitu sekitar RM1,500 sebulan sebagai pengemas bilik. Katanya, walaupun ia gaji minimum, dia yang berkelayakan ijazah sarjana muda berpandangan pihak hotel wajar menaikkan gaji pekerja antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan. “Daripada bekerja di hotel, lebih baik saya kerja di kedai nasi kukus kerana gaji lebih kurang sama, bahkan skop kerja tidak banyak seperti di hotel,” katanya. Bagi Muhd. Takiyuddin Ramlee, 34, pula, dia khuatir untuk bekerja dalam industri perhotelan kerana masih banyak hotel yang belum berupaya untuk beroperasi semula atau sepenuhnya. Katanya, dia tidak mahu kehilangan pekerjaan sekali lagi sebagaimana yang dihadapinya ketika pandemik Covid-19 melanda negara sebelum ini. “Industri ini belum kukuh lagi kerana ada rakan yang pernah bekerja di hotel-hotel tidak dipanggil bekerja semula,” katanya. Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan, kegembiraan pengusaha hotel di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang dan Terengganu untuk menerima kebanjiran pelancong sempena musim cuti persekolahan bermula minggu ini terencat berikutan kekurangan pekerja sehingga 30 peratus. Situasi itu menyebabkan pengusaha hotel pening kepala untuk mencari pekerja bagi mengisi banyak kekosongan jawatan dalam industri tersebut. Sumber: Kosmo |
FOTHER-MUCKER replied at 13-12-2022 02:52 PM
Bila di bagi pada warga asing nanti complain pula kata lebih utamakan warga asing.
Memang susah nak ...
ADVERTISEMENT