Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan tampil mempersoalkan sama ada kerajaan akan membalas dendam terhadap penjawat awam yang tidak sehaluan dengan Pakatan Harapan (PH).
Beliau mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal memberi jaminan bahawa kerajaannya tidak akan menjalankan “witch hunt” terhadap pegawai-pegawai kerajaan dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. “Kita semua masih ingat bagaimana Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dengan bongkak mengugut akan “mencari” penjawat awam yang menjalankan tugasan mereka. Adakah membalas dendam ini masih lagi menjadi “polisi senyap” kerajaan PH?
“Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya segera memberi jaminan bahawa sikap dendam terhadap penjawat awam tidak akan dibiar berleluasa di Putrajaya. “Apatah lagi sekarang ini heboh dikatakan bahawa Rafizi melobi hebat untuk menjadi Menteri Kewangan. Sekiranya sikap dendam ini dibawa ke kementerian yang sebegitu penting, apa akan jadi kepada pentadbiran negara? Mungkinkah peruntukan akan dipotong begitu saja jika dia tidak suka kepada individu tertentu?” soalnya dalam kenyataan hari ini. Jelasnya, signal pertama institusi-institusi penting negara berada dalam keadaan bahaya ialah sekiranya ada pegawai-pegawai kanan kerajaan ditukar atau dihentikan atas sebab dendam politik kerajaan PH. “Semoga Allah menjaga dan melindungi penjawat awam yang menjalankan tanggungjawab mereka terhadap negara dan agama dengan ikhlas dan berdedikasi,” katanya. – CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT