Zul Huzaimy, 43, mengakui dia ada menerima ugutan selepas terpalit dengan isu klip video kontroversi ucapannya yang menyentuh isu golongan bukan muslim dan berbaur perkauman yang tular baru-baru ini sehingga pihak polis membuka kertas siasatan.
Zul atau nama sebenarnya, Zul Huzaimy Marzuki ketika ditemui berkata, dia bagaimanapun tidak dapat mendedahkan jenis ugutan diterima kerana kes terbabit masih dalam siasatan pihak berkuasa dan sudah memberikan kerjasama sebaiknya. "Memang saya ada terima ugutan, tapi saya serahkan semuanya kepada pihak berkuasa yang masih melakukan siasatan sehingga sekarang. Saya juga sudah memberi kerjasama kepada polis dan sekarang siasatan masih berjalan lagi," katanya kepada media selepas menghadiri acara pratonton filem Daddyku Gangster lakonannya yang akan ditayang mulai 1 Disember, depan.
Zul berkata, sebagai manusia biasa, dia juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
Katanya, apa yang sudah berlaku itu benar-benar menjadi pengajaran kepadanya supaya tidak lagi tersasar bercakap pada masa akan datang. "Saya ini manusia biasa yang tak lepas melakukan kesilapan. Adakalanya tersasar juga menggunakan perkataan tidak sesuai. Saya bukannya artis yang sukakan kontroversi. Sebelum-sebelum ini pun, mana ada saya buat apa-apa (kontroversi). "Semua orang pelik, kenapa Zul macam itu? Jadi, itulah manusia sebenarnya dan saya berharap semua penonton dan peminat saya memahami apa yang berlaku itu ialah lumrah sebagai manusia biasa, tak lepas daripada tersasar juga buat kesilapan. Saya berharap ini adalah pengajaran kepada saya," katanya.
Menurut Zul, segala yang berlaku itu datangnya daripada kesilapan dirinya sendiri dan tidak membabitkan pihak-pihak lain yang cuba memintanya untuk berbuat sedemikian. Ditanya juga mengenai kekesalan dirinya, Zul berkata, sudah tentu setiap sesuatu benda yang kita buat satu kesilapan, dan kita rasa mungkin kesal dan macam tak 'best'. "Itulah semua orang, manusia baik yang tiada niat akan rasa begitu (kesal). Tapi, kalau memang dia ada berniat, itu lainlah. Apapun, saya minta kepada semua, jangan dikaitkan filem ini dengan isu politik. Saya mohon berikan sokongan kepada karya seni ini.
"Saya juga akan meneruskan lagi memberi ceramah sekiranya menerima undangan. Sebabnya, saya masih lagi sebagai ikon permotoran yang akan bercakap mengenai permotoran saja, dan tidak lagi akan membabitkan benda-benda sebegitu (berbaur perkauman)," katanya. Terdahulu, dalam kenyataan sensitif Zul yang dirakam pada satu program di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu, polis membuka kertas siasatan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|