BANGKOK – Seorang lelaki di Pulau Phuket, Thailand didakwa membunuh bapanya dalam satu kejadian yang berlaku hanya disebabkan perbalahan mengenai wang untuk membeli rokok, baru-baru ini, lapor portal berita Thaiger.
Arnon Kammanochart, 26, mengelar leher Uthai Kammanochart, 51, di daerah Thalang Isnin lalu dengan mendakwa bahawa dia mempertahankan diri ketika bergelut dengan bapanya itu sebelum bertindak membunuhnya. Lelaki berkenaan memberitahu polis Thalang bahawa Uthai meminta dia membeli rokok, menyebabkan pemuda berkenaan pergi ke rumah neneknya untuk mendapatkan wang. Namun, neneknya enggan memberikan sebarang duit yang menyebabkan dia pulang ke rumah. Selepas pulang ke rumah, Arnon memberitahu mangsa bahawa neneknya enggan memberikan wang kepadanya. Ekoran itu, mangsa bertukar menjadi ganas sekali gus mendorong dia bertindak menendang muka suspek. Sebagai tindak balas, suspek mengambil sebilah pisau dapur bagi mempertahankan diri sebelum mengelar leher dan membunuh mangsa. Beberapa anggota polis kemudian tiba sebelum suspek menyerah diri selepas kejadian tersebut. Mereka turut menemui mayat mangsa di atas katil di belakang rumah dengan terdapat kesan luka di leher dan mukanya. Namun, tiada saksi mampu mengesahkan atau menafikan kenyataan suspek kerana hanya mereka berdua yang tinggal di rumah tersebut. – CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT