Tular sebuah ciapan di Twitter mendakwa sebuah kumpulan penggodam membocorkan data peribadi lima juta penumpang dan pekerja syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia.
@TheFuturizts mendakwa Daixin berkongsi dua fail mengandungi pelbagai butiran peribadi pekerja dan penumpang. "Penggodam berlaku awal bulan ini. Fail pertama mengandungi maklumat penumpang, manakala yang kedua berkongsi butiran pekerja, seperti tarikh lahir, negara, alamat, tarikh pekerjaan, dan juga 'soalan rahsia' mereka dengan jawapan. "Menurut jurucakap Daixin, Airasia menghubungi kumpulan itu untuk berbincang supaya mereka memadam semula data yang dikongsi tetapi gagal mencapai persetujuan mengenai bayaran," ciapnya pada Isnin.
Sebaliknya, Daixin mengugut akan memuat naik semua data sulit AirAsia itu di internet. Katanya, Daixin juga mendedahkan mereka tidak meneruskan serangan ke dalam sistem rangkaian AirAsia disebabkan ia tidak tersusun dan tidak mempunyai piawaian yang selaras. Perkara itu mengejutkan kerana kumpulan penggodam itu sebelum ini hanya gemar menyerang bisnes-bisnes di Amerika Syarikat sahaja. Setakat ini, AirAsia masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu kebocoran data berkenaan. Sumber: Sinar Harian |
ADVERTISEMENT