Detik romantis lamaran seorang lelaki terhadap teman wanitanya bertukar cemas selepas mencetuskan kebakaran yang turut hampir menyambar pasangan berkenaan, lapor laman berita Thaiger semalam.
Lamaran tersebut berlangsung semasa Pesta Tanglung Yi Peng di Chiang Mai, Thailand. Namun, ia hampir gagal apabila beberapa tanglung terbang rendah sebelum merempuh dan hampir membakar pasangan itu. Video lamaran pasangan tersebut tular selepas dimuat naik oleh wanita berkenaan di akaun Twitter @tailovene. Rakaman video memaparkan pasangan itu berada di tengah padang sambil dikelilingi pengunjung lain yang sedang melepaskan tanglung ke langit.
Ketika kejadian, dua tanglung yang gagal untuk terbang telah melanggar wanita tersebut, manakala satu lagi tersasar. Dia bagaimanapun bernasib baik kerana badan dan pakaiannya tidak terbakar. Sementara satu lagi rakaman memaparkan teman lelaki wanita itu melamarnya semasa acara tersebut. Twitter “Ia sepatutnya romantik, tetapi realitinya penuh dengan jeritan. Terdapat kebakaran di semua tempat, kuil juga terbakar. Anggota bomba berada di sana! Dan saya akan berkahwin,” demikian menurut keterangan pada gambar tersebut. Wanita itu menambah bahawa situasi itu tidak romantis seperti yang dia bayangkan, tetapi ia merupakan detik yang tidak akan dilupakan kerana mengujakan dan hebat. Sumber: Kosmo |
ADVERTISEMENT