Personaliti media sosial yang kini bergelar penyanyi, Syafiq Naser meluahkan rasa kurang senang apabila netizen menegur perwatakannya yang dilihat semakin menyerupai wanita dalam video di muat naik di Instagram miliknya.
Menganggap komen tersebut sebagai kritikan tidak membina, Syafiq, 27, juga tidak gemar apabila ada dalam kalangan netizen turut membandingkan dirinya dengan rakan selebriti, Amsyar Lee. "Inilah contoh komen yang langsung tidak membina. Saya boleh bayangkan bagaimana rupa lelaki ini dalam kehidupan sebenar. "Kenapa kita perlu dibandingkan ya? Jom berkawan dengan saya dan awak akan tahu bagaimana saya menguruskan diri. Terima kasih atas 'nasihat'," katanya.
Syafiq menulis perkara tersebut menerusi hantaran di Instagram miliknya pada Isnin.
Menerusi perkongsian sama, Syafiq turut memuat naik komen diberikan tentang perubahan imejnya yang didakwa semakin 'over' akibat pergaulan dengan orang sekeliling sejak dikenali sebagai pempengaruh media sosial. Ada juga yang meminta Syafiq menujukan single pertamanya, Malu kepada dirinya sendiri.
"Seperti mana tajuk lagi Malu ini, macam itu saya harap Syafiq malu dengan diri sendiri yang semakin menjadi-jadi sifat 'kelempok' di Instagram atau TikTok. "Dulu sebelum jadi artis nampak keras juga, sekarang semakin melampau. Berkawan jangan sampai terpengaruh ya! "Cuba bezakan dengan Amsyar Lee. Dia makin 'macho' sebab tahu jaga imej. Berubahlah, kembali fitrah asal. Berhenti buat parodi yang menampakkan awak nak ke arah sebagai bapok," antara komen pedas netizen pada muzik video lagu berkenaan.
Sementara itu, Syafiq menjelaskan sangat berhati-hati dalam memuat naik sebarang kandungan dalam media sosial miliknya agar ia tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Komen negatif bukan perkara baharu jelas Syafiq namun dia mengambil langkah untuk tidak memperdulikannya kerana ia boleh menganggu emosi.
"Saya selalu fikir panjang sebelum memuat naik apa-apa kandungan agar tidak bertentangan dengan banyak perkara. Banyak lagi benda boleh dilakukan tanpa menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat. "Mereka yang tinggalkan komen negatif ini biasanya tidak faham dengan apa yang cuba disampaikan. Jadi saya tak perlu ambil pusing kerana ia boleh menganggu emosi," katanya.
Untuk rekod, lagu Malu mula dilancarkan pada 28 Oktober lalu dan merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Syafiq sendiri yang dihasilkan sejak 10 tahun lalu ketika masih bersekolah. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|