Seorang lelaki Taiwan yang sukarela menyertai pasukan pertahanan Ukraine maut dalam pertempuran dengan tentera Rusia.
Kementerian LuarTaiwan berkata, komander pertahanan Ukraine mengesahkan kematian Tseng Sheng-kuang, 25. Central News Agency (CNA) berkata, lelaki itu dipercayai cedera ketika bertempur di Luhansk dan meninggal dunia kerana kehilangan banyak darah. "Kami mengucapkan takziah kepada keluarga beliau yang berani mempertaruhkan nyawa di Ukraine," kata kementerian itu.
Kementerian berkata, ia akan membantu keluarga Tseng untuk persiapan ke Ukraine bagi pengecaman mayat. CNA melaporkan, Tseng adalah askar veteran dari suku Amis. Isterinya memaklumkan bahawa Tseng pergi ke Ukraine pada Jun lalu dan kali terakhir mereka berhubung adalah pada 23 Oktober lalu di mana Tseng memaklumkan akan menyertai misi selama lima hari. Wanita berkenaan menerima mesej yang dihantar dari telefon bimbit Tseng oleh seorang rakan sepasukan memaklumkan Tseng cedera dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT