New Delhi: Bayi perempuan di Uttar Pradesh, India, selamat dilahirkan pada 22 Oktober lalu, walaupun ibunya dalam keadaan koma sejak tujuh bulan lalu.
Wanita yang dikenali sebagai Shafiya itu koma selepas mengalami kecederaan serius akibat terbabit dalam kemalangan motosikal. Kemalangan itu menyebabkan wanita terbabit mengalami kecederaan di kepala kerana tidak memakai topi keledar. Ketika kejadian pada Mac lalu, wanita itu sudah disahkan mengandung kira-kira 40 hari. Tudungnya dikatakan tersangkut pada roda motosikal yang dibonceng bersama pasangannya menyebabkan mereka terjatuh.
Susulan kejadian, Shafiya terpaksa menjalani lima pembedahan neurologi di Institut Sains Kesihatan India di Bulandshahr, Uttar Pradesh. Dalam beberapa tempoh tertentu, dia terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan beberapa tulangnya terpaksa dikeluarkan kerana terkena bahagian otak. Doktor juga berada dalam keadaan dilema sama ada terpaksa menggugurkan bayi dalam kandungan wanita itu atau sebaliknya, kerana implikasi yang boleh berlaku kepada wanita itu. Selepas menjalani ujian ultrabunyi, kandungan wanita itu disahkan normal dan pasukan perubatan memberi keyakinan kepada keluarga bahawa tiada implikasi pada kandungannya. Wanita itu pada mulanya hanya berpeluang untuk hidup antara 10 hingga 15 peratus saja berdasarkan keadaan kesihatan dan kecederaan yang dialami. Kini, Shafiya sudah tidak perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan, malah sudah boleh menggerakkan kaki dan kepala. Pakar bedah, Dr Deepak Gupta menganggap kes ini satu keajaiban dalam bidang kesihatan. "Tidak pernah terlintas di fikiran saya keadaan sebegini akan berlaku sepanjang 22 tahun menjadi pakar bedah. "Shafiya kini berada dalam keadaan yang stabil dan tidak memerlukan bantuan alat pernafasan," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT