Penyanyi Shila Amzah, 32, bakal kembali merancakkan karier seninya di China pada tahun depan dan dalam perancangan menghasilkan lagu untuk pasaran di sana.
Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah juga berkata pandemik Covid-19 adalah penyebab dirinya kurang aktif dan bukannya kerana namanya semakin suram di sana. "Saya tak pernah tinggalkan karier seni di China. Kita semua tahu kekangan pandemik sebelum ini memberi kesan besar dan sekarang saya yakin sudah ada solusi terbaik untuk kembali ke sana. "Insya Allah tahun depan saya akan kembali rancakkan karier di sana. Tapi saya enggan tergesa-gesa kerana banyak aspek perlu dititikberatkan jika mahu lakukan 'comeback' yang terbaik.
"Pada bulan Februari nanti, mereka pun akan menyambut Tahun Baharu Cina dan ia bukan masa terbaik untuk saya. Tapi baguslah saya masih ada masa yang sangat cukup untuk lakukan persiapan sebelum kembali takluk pasaran sana," katanya. Penyanyi Patah Seribu itu juga masih yakin dirinya mendapat tempat di China meskipun beberapa tahun tidak bertapak di sana. "Melihat penampilan saya saja pun, saya ada kelebihan kerana nampak berbeza. Begitu juga cara nyanyian saya cukup tersendiri dan itu menguatkan lagi tarikan untuk saya dikenali di sana," katanya. Shila ditemui pada majlis pengumuman kerjasama strategik Media Prima Berhad (MPB) dan rangkaian stesen TV terbesar China, Hunan Broadcasting System (HBS), semalam. Penyanyi itu membuat penampilan sempena program membabitkannya iaitu Shila Amzah Masterclass Musim 2 yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi dan ditayangkan di 8TV. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT