Sepasang suami isteri di Riau, Indonesia mencipta 'kemalangan' demi membuat tuntutan insurans.
Hendra, 49, dan isteri, Susiani, 35, bagaimanapun kempunan untuk mendapatkan wang tuntutan itu selepas mereka ditahan polis, baru-baru ini. Berdasarkan siasatan, Susiani memaklumkan kereta yang dinaiki bersama Hendra terbabit dalam kemalangan, lalu terbakar, pada 27 Oktober lalu. Wanita itu juga mendakwa suaminya maut dalam kebakaran itu bagi membuat tuntutan insuran. Namun, siasatan lanjut mendapati mayat individu yang didakwa sebagai Hendra sebenarnya adalah seorang lelaki yang mengalami masalah mental.
Lebih kejam, lelaki terbabit didapati dibunuh sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam kenderaan yang terbakar. Ketika siasatan dijalankan, polis menemui mayat seorang lelaki di dalam kereta yang sudah hangus. Wanita itu kemudian mendakwa individu yang ditemui mati di dalam kereta itu adalah suaminya. Bagaimanapun, wanita itu tidak membenarkan bedah siasat dijalankan ke atas jenazah suaminya. Curiga dengan keputusan itu menyebabkan polis menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada kereta itu terbakar atau dibakar. Selepas siasatan dijalankan, polis mengesahkan individu yang ditemukan di dalam kereta berkenaan adalah pesakit mental yang berasal dari Bengkalis, manakala kereta itu sebenarnya dibakar. Ketika soal siasat dijalankan, Hendra akhirnya mengaku dia membakar kereta berkenaan dan membunuh individu itu bagi membolehkan tuntutan insuran dibuat. "Suspek terserempak dengan mangsa sebelum memujuknya dengan memberi makanan dan pekerjaan, lalu membunuhnya. "Suspek kemudian memasukkan mayat lelaki itu di dalam kereta sebelum membakarnya untuk menuntut insuran," katanya. Kes itu kini dalam siasatan pihak berkuasa. Sumber: GEMPAK |
ADVERTISEMENT