Seorang pemandu Ojek (teksi motosikal) memindahkan jenazah seorang penduduk dengan mengikatnya menggunakan kain sarung.
Kejadian berlaku di Pasangkayu, Sulawesi Barat, Indonesia. Kisah tersebut menjadi tular di media sosial selepas satu hantaran di muat naik di laman Facebook. Dilaporkan seorang penduduk kampung ditemui meninggal dunia di atas jalan, di Kampung Pakava, di Pasangkayu. Keluarganya kemudian mahu membawa jenazah pulang ke kampung halaman.
Bagaimanapun, keadaan jalan berlumpur dan lokasi terpencil menyebabkan tiada pilihan melainkan jenazah dipindahkan menggunakan teksi motosikal (Ojek). Jenazah diikat menggunakan kain sarung, dan salah seorang penduduk menahannya dari belakang supaya ia tidak jatuh. Mereka membantunya secara bergilir sehingga tiba di destinasi di Kampung Ngowi, sejauh berpuluh kilometer (km). Seorang penduduk, Alfianus berkata, pada mulanya mereka membawa jenazah itu menggunakan motosikal separuh jalan. Namun, keadaan jalan yang melalui kawasan berbukit yang tidak dapat dilalui kenderaan bermotor, jenazah terpaksa diusung ke kampung halaman. "Separuh jalan dipindahkan menggunakan teksi motosikal di jalan berlumpur. Separuh jalan lagi dibawa oleh penduduk secara bergilir kerana laluan berbukit sukar dilalui teksi motosikal, apatah lagi membawa muatan berat,” jelas Alfianus. - CARI Sumber: mStar/Kompas
|
ADVERTISEMENT