"Apa yang akan berlaku pada masa mendatang, saya masih tidak tahu tetapi semoga ianya memberi kebaikan untuk kita semua, Insya-Allah," kata suami kepada pelakon Sharifah Sakinah iaitu Michael Hansen mengenai keputusan berpisah yang dibuat secara profesional dan harmoni oleh kedua-dua belah pihak.
Michael ketika dihubungi Harian Metro berkata, memandangkan kedua-duanya mempunyai komitmen dan tanggungjawab yang berat di negara masing-masing, mereka akhirnya mencapai kata sepakat untuk menoktahkan hubungan yang dibina. "Sakinah mempunyai Anais (anak hasil perkahwinan pertama) dan kerjaya yang hebat di Malaysia, manakala saya memiliki dua cahaya mata dan perlu bekerja di Sweden. Jadi, agak sukar untuk kami berdua bergerak ke mana-mana.
"Keputusan untuk menamatkan perkahwinan ini dibuat secara bersama selepas melalui hasil perbincangan dan dipersetujui oleh kami berdua. Kami percaya ini adalah tindakan yang terbaik ketika ini supaya kami boleh fokus dengan perkara yang penting iaitu anak-anak serta keluarga masing-masing. Apapun, kami masih kekal sebagai kawan baik dan semuanya baik-baik saja. "Sakinah adalah wanita yang berbakat, lucu, berkarisma dan berhati mulia. Saya tidak mengharapkan apa-apa selain mendoakan kebahagiaan dan yang terbaik untuk dirinya,"katanya.
|
ADVERTISEMENT