Selepas lima hari ditayangkan, filem seram Talbis Iblis merekodkan kutipan memberangsangkan apabila meraih lebih RM1 juta.
Perkembangan itu dikongsi penerbit, Gayatri Su-Lin Pillai ketika dihubungi Utusan Malaysia yang berpuas hati kerana sambutan diberikan memberi petanda baik untuk filem tersebut mencatat kutipan membanggakan. “Selama 20 tahun berkecimpung dalam pembikinan filem, saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran kutipan bagi setiap produksi yang diterbitkan. “Keutamaan kami hanyalah pada penerimaan penonton agar mereka terhibur dengan setiap filem yang dihasilkan,” katanya. Talbis Iblis arahan pengarah tersohor, Kabir Bhatia mula ditayangkan 20 Oktober lalu dan menampilkan pelakon hebat seperti Nasha Aziz, Azira Shafinaz, Zul Ariffin, Sherry Merlis dan ramai lagi. Gayatri turut memaklumkan, pihaknya berhasrat menayangkan filem tersebut di luar negara, termasuk sebuah festival antarabangsa yang bakal berlangsung di Perancis tidak lama lagi. “Belum ada kata kata putus tentang festival berkenaan, namun apa yang saya boleh katakan, semuanya ada dalam perancangan. “Tentang tayangan di negara lain, perkara itu masih dibincangkan buat masa ini. Rakan pengedar, Astro Shaw Sdn. Bhd. dan Jazzy Pictures (M) Sdn. Bhd. juga telah mengadakan perbincangan berkaitan perkara itu, namun saya belum dimaklumkan tentang negara yang terlibat,” katanya lagi. Dalam pada itu, Gayatri memberitahu, mereka menghormati keputusan kerajaan Brunei yang mengharamkan filem tersebut daripada ditayangkan di negara itu. Katanya, itu bukan perkara baru kerana pernah berdepan situasi sama terhadap filem terbitannya terdahulu. “Kami tidak terkejut dengan keputusan pihak berkuasa Brunei, malah kami hormati pendirian mereka dan tidak akan mempersoalkan perkara itu,” jelasnya. -CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT