Mexico City: Seorang lelaki yang membunuh dan memotong mayat teman wanitanya sebelum membuangnya ke dalam tandas dipenjarakan selama 70 tahun.
Hukuman itu dibuat ketika Mexico mula melaksanakan undang-undang yang lebih ketat untuk menghentikan pembunuhan terhadap wanita. Portal Mirror melaporkan, Erik Francisco Robledo dijatuhi hukuman oleh hakim di Penjara Lelaki Oriente di Mexico selepas dia didapati bersalah melakukan pembunuhan ke atas Ingrid Escamilla yang 21 tahun lebih muda daripadanya, pada 9 Februari 2020. Tertuduh yang juga seorang jurutera awam berusia 46 tahun dilaporkan memberitahu polis dia membunuh kekasih mudanya yang dikenali sebagai Ingrid Escamilla Vargas, 25, sebelum memotong mayatnya serta membuang anggota badan lain dan usus ke dalam tandas. Berdasarkan laporan, jiran menelefon Setiausaha Keselamatan Rakyat (SSC) apabila melihat lelaki itu keluar dari bangunan tempat dia tinggal dalam berlumuran darah. Dalam klip itu, Robledo berkata, "Kami mula bertengkar. Dia berkata, dia mahu membunuh saya dan saya berkata lakukannya." Dia menambah, "Dia mengambil pisau dan saya berkata lakukannya sekali gus. Dia menikam saya sekali dan saya berkata lakukan dengan lebih kuat. Dan dia mencuba dua kali lagi." Apabila ditanya mengapa dia memotong mayat wanita itu, Robledo menjawab: "Saya tidak mahu sesiapa tahu." Robledo menambah, "Saya menggunakan pisau sama yang dia menyerang saya untuk menikamnya di kerongkongnya. Saya melemparkan cebisan mayatnya ke dalam sistem saliran kerana saya berasa malu." Pendakwa raya Nelly Montealegre berkata, kes itu dianggap sebagai penganiayaan wanita kerana mangsa mempunyai hubungan dengan pembunuhnya. Ingrid Escamilla dilaporkan memfailkan aduan terhadap pasangannya pada Julai 2019 sebelum menggugurkan pertuduhan. Escamilla sedang belajar untuk ijazah sarjana dalam pentadbiran perniagaan pelancongan dan sering menggambarkan dirinya di media sosial sebagai seorang gadis yang suka pengembaraan, haiwan peliharaan dan alam semula jadi. Robledo ditangkap selepas pembunuhan itu, tetapi perbicaraan mahkamah ditangguhkan sehingga dua tahun kemudian. Proses mahkamah berlangsung lebih 26 perbicaraan dan akhirnya berakhir Khamis lalu. Robledo didapati bersalah atas jenayahnya dan dijatuhkan hukuman penjara 70 tahun - maksimum yang boleh diperoleh penjenayah di Mexico. Pejabat Keadilan Pendakwa Raya Mexico City mengumumkan selepas perbicaraan, "Kami mendapati hukuman penjara 70 tahun terhadap Erick Francisco 'N' selepas membuktikan tanggungjawab jenayahnya dalam pembunuhan wanita muda itu." Robledo turut dikenakan denda yang tinggi bagi menampung perbelanjaan pengebumian dan pampasan tambahan untuk keluarga mangsa. Selepas hukuman itu diumumkan, Antelma Vargas, ibu Ingrid, berkata dia gembira dengan keputusan hakim, kerana ia menunjukkan anaknya kini mendapat keadilan sewajarnya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT