Baltimore: Seorang bomba wanita sarat hamil yang sedang mengalami kontraksi di Maryland, Amerika Syarikat, masih sempat menawarkan bantuan menyelamatkan mangsa kemalangan, baru-baru ini.
Sebelum kejadian itu, kereta dipandu anggota bomba berkenaan, Megan Warfield, terbabit kemalangan dengan kenderaan lain. Insiden itu berlaku ketika Warfield tidak bertugas dan baru pulang dari acara kejohanan golf edisi kedua bagi menghormati mendiang bapanya, 3 Oktober lalu. Ketika itu, dia tidak mengendahkan sakit kerana kontraksi, sebaliknya terus mengawal lalu lintas dan berusaha menyelamatkan mangsa kemalangan yang terperangkap akibat kemalangan itu.
Warfield berkata, dia cuba menenangkan mangsa, seorang wanita yang masih berada di tempat duduk, namun terperangkap kerana kedudukan kereta yang terbalik. "Saya cuba menenangkan mangsa sebelum pasukan kecemasan tiba. Ia adalah detik yang sangat mendebarkan. "Saya tak tahu macam mana saya boleh buat (bantu mangsa) kerana kontraksi (yang saya alami) sangat teruk pada masa itu," katanya dalam rancangan NBC, Today. Selepas semuanya selesai, Warfield ke hospital Universiti Johns Hopkins di Baltimore sebelum doktor memberitahu kesan kemalangan itu menyebabkan dia perlu melahirkan bayi ketiga itu segera. Warfield berkata, dia bersedia untuk kembali bertugas sepenuhnya selepas cuti bersalin. "Saya tidak sabar hendak bertugas semula," katanya kepada Today. Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba Baltimore, Joanne Rund berkata, inisiatif Warfield itu menggambarkan bagaimana dedikasi anggotanya memberikan segalanya sama ada mereka bertugas atau tidak bertugas. Dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook, Jabatan Bomba Sukarela Bowleys Quarters menggelar Warfield sebagai penjawat awam sejati. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT