"Kena tanya Ketua Saluran Astro Ria, Warna & Prima, kenapa saya tiada pada program Sepahtu Reunion." Demikian ringkas kata pelawak dan penyampai radio Shuib susulan kenyataan pelawak, Rahim yang mana pihaknya terbuka sekiranya Shuib ingin menjayakan program itu atau sebarang kerjasama pada masa akan datang.
Shuib, 38, atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berkata, dia enggan mengulas lanjut berkenaan isu itu. "Rasanya untuk isu ini baik Ketua Saluran Astro Ria, Warna & Prima, Norzeha Mohd Salleh atau JR yang jawab. Boleh tanya dia kenapa saya keluar Sepahtu Reunion.
"Sebab yang dulu pernah bagi jawapan pihak pengurusan tertinggi, yang lain semua dalam tu kawan-kawan. Kami semua baik. Saya tak nak cakap lebih mengenai ini sebab takut nanti melukakan hati ramai pihak," katanya kepada Harian Metro. Sementara itu, Ketua Saluran Astro Ria, Warna & Prima, Norzeha Mohd Salleh berkata, pihaknya sudah pernah memujuk dan menawarkan untuk Shuib kembali bersama dalam program itu. "Sudah tentu pernah cuba pujuk dia. Namun kerana komitmen dan fokus utama Shuib kini adalah pada perniagaan, maka kami menghormati keputusan itu. Walau bagaimanapun, kami sentiasa terbuka dan berbesar hati untuk Shuib kembali bekerjasama dalam Sepahtu Reunion andai diizinkan Allah. "Ketiadaan Shuib memang satu kehilangan besar. Shuib tetap memberi sokongan kepada kami dan Sepahtu. Dia pernah muncul sebagai cameo dalam salah satu episod Sepahtu Reunion Live musim lalu. Komitmen sebagai cameo hanya memerlukan Shuib datang pada hari siaran langsung sahaja dan tiada sesi latihan diperlukan," katanya. Menurut Norzeha, Shuib juga ada terbabit dalam beberapa program terbitan Astro yang lain. "Shuib turut muncul sebagai juri bersama Jep, Pak Ya dan Rahim dalam Mencari Sepahtu Yang Hilang pada awal tahun ini. Malah, pembabitan Shuib dalam program-program Astro akan datang lebih kepada penjurian dan pengacaraan kerana tidak memerlukan komitmen jangka masa panjang," katanya. Terdahulu akhbar ini melaporkan, pelawak dan penyampai radio Rahim menjelaskan tidak timbul isu bermasam muka biarpun Shuib kini tidak lagi bersama program Sepahtu Reunion. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT