LONDON – Satu kajian di Britain mendapati kaum wanita kini cenderung memilih untuk menangguhkan kehamilan bagi memberi tumpuan kepada kerjaya mereka, lapor portal berita MailOnline semalam.
Kajian tersebut dilakukan pasukan penyelidik dari Kolej Universiti London dan melibatkan 411 responden. Mereka diberikan senarai 11 pilihan yang bertanyakan soalan berkenaan tiga perkara utama dalam menentukan umur untuk mula bergelar ibu. Hasilnya mendapati bahawa umur 30 tahun merupakan usia purata yang difikirkan sesuai untuk menimang cahaya mata buat kali pertama. Kerjaya menjadi faktor utama kepada keputusan tersebut, diikuti dengan perasaan bersedia serta situasi kewangan. Hampir separuh daripada wanita terbabit apabila ditanya mengenai umur ideal untuk bergelar ibu dan mengapa mereka memilihnya, mereka menjawab bahawa ingin membina kerjaya terlebih dahulu. Sebagai perbandingan, hanya 37 peratus memilih usia untuk bergelar ibu berdasarkan situasi kewangan. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Human Reproduction itu turut memetik pendapat seorang peserta yang berkata: “Saya bimbang mengenai sama ada saya boleh mendapat anak dalam masa yang saya ada, tanpa memberi terlalu banyak tekanan kepada kerjaya saya.” Selain itu, ramai peserta mengaku bahawa mereka ingin menikmati ‘kebebasan’ sebelum membuat keputusan untuk mempunyai anak. “Saya mahu menikmati usia 30-an tanpa perlu mengutamakan sebarang tanggungjawab lain,” kata seorang peserta. Beberapa statistik di Britain awal tahun ini turut mendedahkan bahawa lebih separuh wanita di negara itu tidak mempunyai anak pada usia 30 tahun. -CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT