Kuala Lumpur: Biarpun negara sudah memasuki fasa peralihan endemik sejak beberapa bulan lalu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merekodkan peningkatan pinjaman ceti haram sebanyak 20 peratus berbanding sebelum ini.
Antara faktornya adalah ketidaktentuan ekonomi serta perubahan pekerjaan secara mendadak terutama bagi mereka yang terkesan dengan penularan Covid-19 sejak 2020. Mendedahkan perkara itu, Naib Presiden 3 Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Azman Kang Abdullah berkata, setakat ini, kebanyakan kes yang diadukan kepada pihaknya membabitkan kesan pandemik seperti kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Katanya, jika sebelum ini secara purata, terdapat 30 hingga 50 kes yang dirujuk kepada Biro Banteras Ceti Haram PPMM, ia dilihat meningkat sehingga 70 kes, terutama selepas musim perayaan baru-baru ini. "Keseluruhan kes berkenaan berjumlah lebih RM1 juta dan yang mengejutkan apabila ada yang sanggup meminjam walaupun hanya RM300. "Sudahnya tuntutan along menjadi lebih RM1,000 dan mereka mula berdepan masalah untuk membayarnya sehingga meningkat berkali ganda," katanya kepada Harian Metro. Azman berkata, sudah sampai masanya kerajaan tampil dengan inisiatif penyelesaian isu along seperti tabung khas di dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini. Katanya, ia mampu menyelesaikan isu ceti haram yang terus berlanjutan termasuk penggunaan aplikasi tertentu untuk memerangkap mangsa. "Along sekarang tidak lagi perlukan ruang pejabat seperti dulu. Cukup dengan bercakap di telefon, muat turun aplikasi dan wang dipindahkan ke dalam akaun. "Tetapi modus operandinya tetap sama, potongan sehingga 30 peratus daripada kadar pinjaman. Ini sebenarnya yang memerangkap mangsa yang terdesak ingin menggunakan wang segera. "Kita harap ada pengumuman berkenaan ceti haram di dalam Bajet 2023. Setidak-tidaknya ada ruang untuk peminjam keluar dari masalah mereka," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT