Penerbit dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri sejak kebelakangan ini sering didapati terlibat dalam program menyantuni masyarakat di Port Dickson.
Menerusi Facebook beliau sentiasa berkongsikan aktivitinya itu terutama yang melibatkan anak-anak istimewa. Bagaimanapun, kehadiran Ahmad Idham menimbulkan pula persepsi sama ada program dan aktiviti yang dijalankannya itu merupakan satu ‘gerakan’ awal untuk mendekati hati rakyat sebelum beliau diangkat sebagai calon di Parlimen Port Dickson. Umum mengetahui, Ahmad Idham kini bergiat aktif menerusi platform gabungan politik, Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajui bekas Perdana Menteri,Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahmad Idham menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat penilaian dan persepsi berkenaan, namun fokus utamanya adalah untuk mengembangkan agenda memperjuangkan nasib golongan kanak-kanak istimewa di negara ini. “Terpulang kepada mereka untuk menilai kerana saya akan terus buat kerja, saya bukan orang yang hanya duduk di kerusi empuk dan tidak turun padang. Jika kehadiran saya di Port Dickson dilihat hanya untuk politik, ia tidak akan begitu teknikal seperti apa yang saya lakukan sekarang. “Saya datang dengan ‘produk’, saya pergi ke tujuh Pusat Pemulihan Dalam Komuniti di Port Dickson bersama bengkel program, ia lebih profesional,” katanya yang merupakan Pengasas kepada Hab Pendidikan Khas Dr. Ahmad Idham.
Mengulas lebih lanjut, Ahmad Idham bagaimanapun mengakui, kehadirannya itu bermula selepas diminta oleh Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail untuk turun membantu di Port Dickson. “Saya bergerak dengan GTA kerana rasakan GTA memberi ruang yang ada hari ini iaitu platform rakyat untuk berkhidmat kembali kepada rakyat,” ujarnya.- CARI Sumber: Utusan Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|