
Sumber Harian Metro
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin memaklumkan kes wanita yang tular di media sosial kerana berpakaian ihram seperti lelaki di Makkah sudah selesai secara baik melalui penyelesaian luar mahkamah sejak hampir sebulan lalu.
Harian Metro melaporkan, wanita berpakaian lelaki atau 'pengkid' itu tampil bersama ibu bapanya di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Perak Tengah, Seri Iskandar dan menjalani sesi kaunseling
"Kes sudah selesai hampir sebulan lalu selepas pihak kita mengambil keterangan serta maklumat berkaitan dengan kehadiran bersama ibu serta bapanya. Alhamdulillah, mereka berikan kerjsama amat baik.
"Wanita itu sudah selesai berikan kenyataan kepada kita. Insya-Allah kita ada cara tersendiri bagaimana hendak menangani kes seumpama ini," katanya dalam satu wawancara.
Mengulas mengenai tindakan susulan terhadap wanita berkenaan, Mohd Yusop berkata, JAIPk menggunakan pendekatan tersendiri antaranya membabitkan sesi kaunseling.

Datuk Mohd Yusop Husin. SUMBER BH Online
Jelasnya, bagi mencegah sesuatu, tidak semestinya ia bersifat hukuman, tangkapan apatah lagi mendera kerana masih ada kaedah lain yang boleh dilakukan apatah lagi dia dan keluarganya memberikan kerjasama sangat baik dengan datang sendiri ke pejabat JAIPk.
Mengenai kebarangkalian perkara itu berulang kembali, kata Mohd Yusop, ia bergantung kepada keseriusan kesalahan berkenaan selain bilangan kesalahan sama yang dilakukan secara berulang.
"Mudah-mudahan dia sedar kesilapan yang dilakukannya serta insaf. Pada saya jika dia tidak insaf dan rasa bersalah, dia takkan datang pun kepada kita sebaliknya mereka datang dengan sukarela.
"Kadangkala, mungkin kesalahan itu dibuat tanpa sedar dan tanpa niat serta maksud tertentu. Dan mungkin ada kesalahan yang memang sengaja dilakukan dan berulang.
"Umpamanya, jika didapati kesalahan itu berulang dan sengaja dilakukan, maka sudah tentu tindakan tegas akan diambil," katanya.