Yassin kini sudah bergelar usahawan apabila telah mengeluarkan produk sendiri dengan jenama Sennaryo by Yassin Senario.
Yassin atau nama sebenarnya Yassin Yahya, 44, berkata sejak bersama kumpulan Senario lagi dia sudah menyatakan cadangan menjual merchandise atau barangan cenderahati untuk peminat namun ideanya ditolak. "Saya sebenarnya memang suka berniaga. Saya pernah memberikan idea untuk membuat merchandise namun ia ditentang oleh beberapa ahli. "Bagi saya sebagai anak seni sampai bila kita nak harapkan label menguruskan kami," katanya kepada mStar.
Yassin ditemui semasa majlis pelancaran Fiesta Market Datuk Sudirman yang berlangsung di Fahreinheit88, Kuala Lumpur pada Sabtu. Gara-gara kurang berpuas hati ideanya ditolak, Yassin akhirnya membuat keputusan untuk keluar daripada Senario dan bergerak secara solo. "Mungkin pada orang lain melihat tindakan saya ini tidak bijak. "Tetapi saya merasakan ia adalah keputusan terbaik yang pernah saya buat. "Tak ramai yang tahu saya keluar dari Senario sejak 2003. Dari situ saya produkkan diri saya kerana sebelum ingin mengeluarkan produk, saya perlu jadikan diri saya sebagai marketing terlebih dahulu," ujarnya. Dalam pada itu, pelawak ini turut memberitahu dia memilih 2022 sebagai tahun bertuah untuk mengeluarkan dua produk daripada jenamanya sendiri. Baginya angka dua membawa makna besar dalam hidup dan tahun ini juga Yassin bergerak selangkah kehadapan untuk bergelar sebagai usahawan. "Saya suka nombor dua. Dua ini adalah dua produk yang kena dengan tahun 2022 dan kena juga dengan kumpulan SA.YA iaitu gandingan saya dan Saiful Apek. "Saya menghasilkan produk rambut, pomade yang boleh dipakai oleh lelaki kanak-kanak sehinggalah dewasa dan pencuci muka multi fungsi tiga dalam satu," katanya. Bercakap mengenai Fiesta Market Datuk Sudirman, seramai 16 selebriti termasuk Azan Scan, Syanie, Aweera dan Zarina Zainuddin membuka gerai menjual produk mereka selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad ini. -CARI Sumber: mStar Online
|
ADVERTISEMENT