Melaka: Hasrat seorang pelajar Tingkatan 4 untuk menonton wayang tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal ditunggangi terbabit kemalangan di Jalan Pokok Mangga di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 9.16 malam itu, mangsa, Muhammad Ammar Syahmi Rosli, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, nahas membabitkan motosikal dan tiga kereta. Menurutnya, kemalangan berlaku apabila mangsa dari arah Malim menghala ke Dataran Pahlawan untuk menonton wayang dipercayai berlanggar dengan Mercedes Benz E230 dari arah Klebang yang hendak masuk ke simpang Taman Sri Pandan.
"Rempuhan mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian sebelum kereta dipandu lelaki berusia 67 tahun itu kemudian merempuh Honda Accord dan Proton Aeroback. "Pemandu ketiga-tiga kereta bagaimanapun tidak cedera," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini. Menurut Christopher, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat. "Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan. "Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT