Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan pengarah sebuah universiti awam di Melaka, selepas disyaki menerima suapan sebuah kereta Honda.
Lelaki berusia 50-an yang bertugas sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Fasiliti, itu ditahan kira-kira jam 3 petang. Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Mat berkata, lelaki itu ditahan di pejabat SPRM Melaka di Alai selepas hadir memberi keterangan membabitkan kesalahan itu. "Dia disyaki menerima satu suapan harta alih iaitu sebuah kenderaan jenis Honda Accord 2.4 yang dianggarkan bernilai RM174,500.
"Ia diperoleh daripada seorang pemilik syarikat kontraktor di Klang, Selangor sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai RM1,654,350," katanya menerusi kenyataan media hari ini. Menurutnya, suspek kini ditahan sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, esok bagi perintah permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT