Kegigihan bapa empat anak, Md Fazil Hamdillah Panjang menabung tidak sia-sia apabila mengumpul RM28,510 hasil simpanannya sejak tiga tahun lalu.
Kisah Md Fazil Hamdillah, 35, yang bekerja sebagai pemandu lori mendapat perhatian selepas berkongsi videonya 'memecahkan' tabung dan jumlah wang terkumpul di Facebook (FB), kelmarin. Di sebalik perkongsiannya itu, Md Fazil Hamdillah mengakui dia sebenarnya belum bersedia untuk memecahkan tabung simpanannya itu menganggap belum sampai masanya. "Sepanjang menabung, saya hanya simpan duit dan tidak pernah buka atau usik isi di dalamnya.
"Tetapi, saya terpaksa kerana ada masalah selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital akibat apendiks dan merancang untuk dapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta pula. "Jadi, saya pecahkan tabung untuk lihat berapa jumlah wang ada di dalamnya sebagai persediaan untuk menampung kos perubatan. "Terkejut juga lihat hasilnya. Keluarga termasuk emak serta ayah jadi saksi saya pecahkan tabung dan kira jumlah wang terkumpul," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini. Menurutnya, dia menabung untuk suka-suka saja dan melakukannya kerana melihat hasil wang terkumpul mereka yang pernah berkongsi kisah menabung di laman sosial. Md Fazil Hamdillah berkata, dia tidak terfikir amalan itu akan jadi hobinya dalam jangka masa panjang. "Segala-galanya bermula tiga tahun lalu (2019) dan pada mulanya, saya hanya kumpul wang kertas RM1 dan RM5 saja. "Lama kelamaan jadi seronok pula jadi pada 2020, datang keinginan menyimpan wang RM10, RM20, RM50 dan RM100 pula bagi menambah simpanan. "Ia adalah lebihan wang selepas berbelanja di pasar raya atau sebaik membuat pengeluaran di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan dianggarkan RM800 terkumpul setiap bulan," katanya. Bagi memenuhkan tabungan, Md Fazil Hamdillah dia sanggup mengikat perut kerana enggan menggunakan wang yang ada. Loading FB Post... "Saya jadi begitu (ikat perut) kerana ada waktunya, wang diperoleh masih baru dan memiliki nombor siri yang sama di bahagian belakang. "Jadi, sayang untuk gunakannya maka simpan saja dalam tabung yang asalnya adalah bekas simpanan air. "Ikutkan, saya mahu pecahkan tabung itu dua tahun lagi dan gunakan wang simpanan untuk membina rumah namun jatuh sakit pula jadi impian itu mungkin tidak kesampaian. "Bagaimanapun, saya puas hati kerana hasil simpanan itu sekurang-kurangnya nanti dapat digunakan untuk menampung kos rawatan tanpa perlu meminta-minta daripada orang sekeliling. "Anak juga jadi teruja selepas melihat hasil wang simpanan saya tempoh hari dan mahu menabung kerana saya ada pesan kepada mereka untuk belajar menyimpan wang daripada kecil," katanya yang turut mengumpul duit syiling dalam tabung berasingan. Sumber: Harian Metro
|
~boolean replied at 16-9-2022 02:28 AM
Aku pun dah ada habit ni sejak 2020...tiba2 terasa nak kumpul 5 ringgit dan 20 ringgit sebab waktu t ...
ADVERTISEMENT