Kota Tinggi: Tiada unsur mistik dikaitkan dengan kejadian lemas yang sering berlaku di Pantai Tanjung Balau di sini, sebaliknya ia berpunca daripada kelalaian orang ramai tidak peka dengan larangan mandi di kawasan dikenali pasti berbahaya.
Pengawal Keselamatan Pantai, Salahuddin Abu Bakar, 50 berkata, antara lokasi yang berbahaya ialah kawasan berarus kuat antara batuan di sepanjang 600 meter di pantai berkenaan dan papan amaran serta bendera merah dipasang di kawasan pantai sebagai tanda amaran kepada pengunjung. Katanya, ia juga memberi peringatan bahawa semua aktiviti air dilarang dilakukan termasuk mandi-manda. "Bendera dipasang mengikut situasi ombak. Jika ombak kuat kami akan pasang bendera merah untuk beritahu pengunjung. "Tetapi, ada juga pengunjung yang degil, tetap hendak mandi biarpun bendera merah dipasang. Kami akan guna pembesar suara supaya mereka lebih berwaspada dan naik ke darat. "Ada juga yang masih berdegil, kami akan datang kepada mereka dan meminta untuk mereka naik. Pernah juga pengunjung tidak puas hati apabila diminta naik ke darat. Marah, tengking itu sudah biasa bagi pengawal keselamatan pantai," katanya yang berpengalaman hampir 30 tahun. Sebanyak 20 papan tanda dan bendera merah dipasang di sepanjang pantai Tanjung Balau pada musim tengkujuh iaitu awal November hingga Mac. Menurut Salahuddin, kebanyakan kes lemas adalah disebabkan arus sekitar batuan di pantai itu dan ia bergantung kepada pasang surut air laut. "Kami pasang pelampung halangan supaya pengunjung tidak terlepas dan mengelak ke kawasan berdekatan batuan. Kebiasaannya ketika mandi pengunjung tidak sedar di bawah arus ke tepi. Arus antara batuan sangat kuat dan berpusar," katanya. Bercerita lanjut, Salahuddin pernah berdepan detik sukar yang tidak akan dilupakan ketika menyelamatkan dua beradik wanita lingkungan umur 20-an sekitar 2008. Katanya, pada ketika itu dua beradik berkenaan berada melepasi batuan ke laut dan ombak mencecah tiga meter tinggi. "Saya menggunakan papan luncur kerana itu adalah satu-satunya 'kenderaan' yang boleh digunakan dalam keadaan ombak yang kuat dan tinggi. Saya dapat capai dua beradik itu dan naikkan bahagian kepala hingga tangan ke atas papan luncur. "Dua tangan saya pegang mereka, keadaan mereka lemah. Dua jam saya di kawasan itu tidak boleh ke darat kerana ombak kuat. Saya perlu lepaskan salah seorang supaya saya boleh berenang ke pantai. "Tetapi, saya tidak sampai hati, mereka masih bernyawa. Saya doa minta Allah SWT bantu saya selamatkan mereka. Alhamdulillah tidak lama kemudian satu ombak besar tolak saya ke tepi pantai, dengan hanya menggunakan kudrat kaki saya meluncur bersama dua mangsa. "Sampai sahaja di pantai, terus buat bantuan pernafasan dan Alhamdulillah kuasa Allah SWT dua beradik yang lemah boleh bernafas semula," katanya yang pernah menerima Sijil Penghargaan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) atas keberanian menyelamatkan mangsa lemas menggunakan papan luncur beberapa tahun lalu. Salahuddin berkata, sebagai hamba Allah SWT, dia tidak menafikan kewujudan unsur mistik dan pernah mengalami sendiri ketika menyelam di kawasan ini. "Ini cerita lama, saya pun sudah tidak ingat tahun bila, ketika menyelam terasa ada budak kecil bermain-main atas badan. Saya istighfar dalam hati saja dan mohon kepada Allah SWT permudahkan urusan," katanya. Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Johor mengambil langkah proaktif dalam memberikan tindakan awal kes lemas di negeri ini terutama membabitkan kawasan pantai peranginan. Pemangku Pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang berkata, rondaan secara berkala dilakukan JBPM negeri ini di kawasan pantai terutama pada musim cuti perayaan atau cuti umum. Katanya, terdapat beberapa lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan pengunjung yang ramai dan kerap berlaku kes lemas. "Kami membuat rondaan dan beri penerangan kepada pengunjung. Dengan inisiatif ini juga jika kes berkaitan lemas di kawasan pantai akan mendapat tindakan pantas. "Malah melalui penubuhan Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) banyak program dirangka bagi memberi pendidikan keselamatan di air kepada orang awam. "Kami memasang Life Saving Appliances (LiSA) di tempat kerap berlaku kes lemas. Di Johor, LiSA dipasang di Pantai Batu Layar dan bulan depan LiSA dijangka diletakkan di Pantai Tanjung Balau berikutan peningkatan kes lemas di kawasan itu. "Kami juga bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memasang papan tanda amaran atau bahaya. Seperti contohnya di kawasan air terjun, jeram dan pantai," katanya. Sungai, tali air lokasi paling tinggi catat mangsa lemas di Johor Seramai 118 individu terkorban akibat lemas di pelbagai lokasi di negeri dalam tempoh tiga tahun lalu. Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang berkata, sungai atau tali air menjadi lokasi paling tinggi mencatat mangsa lemas iaitu 53 mangsa daripada 57 kes yang diterima. Katanya, ia diikuti pantai dengan 50 mangsa lemas membabitkan beberapa pantai menjadi hotspot dengan jumlah 31 kes lemas. "Tasik atau lombong mencatat 12 mangsa lemas membabitkan 11 kes, diikuti air terjun atau jeram iaitu dua mangsa (tiga kes) dan pembentungan seorang mangsa dari satu kes dalam tempoh sama. "Antara sungai yang kerap berlaku kes lemas ialah Sungai Stulang, Sungai Danga, Sungai Masai serta Tasik Biru dekat Pasir Gudang, Sungai Benut di Pontian, Sungai Muar, Sungai Tanjung dan Sungai Sri Medan di Batu Pahat yang masing-masing mencatat satu hingga tiga kes lemas. "Pantai Tanjung Balau di Kota Tinggi menjadi antara lokasi yang setiap tahun pasti ada kes lemas. Selain itu, lokasi pantai lain yang mencatat kes lemas ialah Teluk Ramunia, Tanjung Sedili dan Tanjung Piai di Pontian," katanya. Jelas Mohd Rizal, orang awam boleh menghindari tragedi lemas dengan mengelakkan aktiviti di air ketika . cuaca tidak menentu. Katanya, mengikut amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) ketika ini berlaku fenomena La Nina dan akan berada dalam fasa peralihan monsun timur laut tidak lama lagi. "Jadi, dalam keadaan sekarang khususnya dari September hingga Mac, dinasihatkan orang ramai untuk elakkan aktiviti di pantai, air terjun, jeram dan sebagainya. Monsun ini kita terima hujan yang lebih berbanding waktu lain. "Sekiranya mahu membuat juga aktiviti di air, kita kena buat tempat yang kurang berisiko atau memilih pantai yang lebih landai. Selain memilih lokasi percutian yang ada menyediakan kolam renang lengkap dengan keselamatan. "Ketika menjalankan aktiviti air, pastikan ahli keluarga dipantau, jangan biarkan kanak-kanak kecil bermain sendirian. Kita kena sentiasa berwaspada dengan peraturan keselamatan yang ada di tempat berkelah seperti papan tanda amaran atau ada kehadiran pengawal pantai," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
raxief replied at 14-9-2022 05:33 PM
pantai ni 5km je dari umah aku
mangsa terbaru ni anak cikgu katanya
blue_blur replied at 14-9-2022 08:58 PM
kalau macam tu, kena naik kan notis.
khusus untuk orang tak faham amaran larangan, sila baca:
raxief replied at 14-9-2022 09:33 PM
dh mcm2 papan tanda amaran ada kat situ. bendera merah. pastu lifeguard pun rajin laung amaran gun ...
blue_blur replied at 14-9-2022 09:42 PM
bro, lifeguard tu bawah rela ke?
dia dapat elaun dari siapa ek?
blue_blur replied at 14-9-2022 08:58 PM
kalau macam tu, kena naik kan notis.
khusus untuk orang tak faham amaran larangan, sila baca:
immaryjane replied at 14-9-2022 09:48 PM
Bnde dh jadi, mula la up status. Doa kn yg baik2 je, kita tk tahu ape yg dia rasa
Pdahal dh berbuih ...
semata2 nk tnjuk equipment khemah mahal pnye psal.
ADVERTISEMENT