Sekurang-kurangnya lapan maut dan 11 lagi cedera dalam kebakaran yang bermula di sebuah bilik pameran skuter elektrik dalam kejadian di bandar selatan Secunderabad, India pada Isnin.
Al Jazeera melaporkan, polis memaklumkan kebakaran dipercayai bermula di tingkat bawah bangunan hotel yang menempatkan sebuah bilik pameran dengan puluhan skuter elektrik. Bagaimanapun, kebakaran itu berjaya dipadamkan dan pihaknya ketika ini sedang menjalankan siasatan. “Siasatan awal mendapati wujudnya masalah pada sel dan model bateri yang menjadi antara punca utama kebakaran itu berlaku,” katanya.
Kebanyakan mangsa terkorban dalam kebakaran itu merupakan pengunjung hotel yang maut akibat terhidu asap. Pasukan polis dan bomba menggunakan kren serta peralatan lain untuk menyelamatkan pelanggan hotel yang terkandas dari tingkat atas bangunan empat tingkat itu ketika kejadian itu. “Mereka yang menginap di tingkat satu dan dua diselubungi asap serta ramai yang maut adalah dari tingkat berkenaan,” kata Ketua Polis bandar berhampiran Hyderabad, C.V Anand. Katanya, polis masih sedang menyiasat pengedar dan jenama skuter terlibat dalam kebakaran itu. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT