Ara Johari meluahkan rasa bimbang apabila sudah sebulan mengalami sakit tekak sehingga memberi kesan kepada vokalnya.
Ara atau Nurfarrah Izzatie Johari, 25, berkata, dia bimbang masalah itu akan menganggu persembahannya sempena Konsert A Night With Ara Johari yang bakal berlangsung pada 21 September ini. "Tekak saya dah lebih sebulan tak okay. Mulanya ingatkan demam biasa tetap ia menjadi semakin teruk. "Saya jadi takut sebab konsert saya akan berlangsung minggu depan," katanya kepada mStar. Konsert tersebut bakal berlangsung di Nero Event Space, Petaling Jaya.
Terdahulu, Ara berkongsi foto dia sedang mendapat rawatan di sebuah klinik pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) susulan masalah yang dialami. Bagi mengenal pasti masalah dihadapi, Ara menjalani rawatan dengan memasukkan skop di bahagian tekak dan hidung.
"Semalam (Isnin) keadaan suara semakin teruk dan sebab itu saya terus ke klinik ENT untuk dapatkan rawatan. Doktor turut memasukkan skop ke bahagian hidung dan tekak. "Beginilah kehidupan seorang penyanyi," katanya menerusi hantaran di Instagram.
Sementara itu, bercakap mengenai persediaan konsert, Ara berkata setakat ini semua berjalan lancar melainkan latihan vokal yang tertangguh akibat masalah kesihatan yang dialami. Ara bagaimanapun berharap, kesihatannya akan kembali pulih menjelang konsert dan dapat menghiburkan peminat.
"Persiapan konsert sudah 70 peratus siap... cuma kelas vokal dan latihan tertangguh akibat masalah tekak ini. "Doakan saya agar kembali sihat dan semuanya berjalan lancar," jelasnya. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|