Melepaskan anak dara ke alam rumah tangga bukanlah mudah bagi wanita bergelar ibu. Berpuluh tahun menabur kasih sayang dan membesarkan anak, perasaan bercampur baur apabila insan tersayang akhirnya disunting orang.
Namun, aktres dan guru lakon disegani, Fatimah Abu Bakar sedar puterinya, Sharifah Amani Syed Zainal Rashid, 36, berhak mencari kebahagiaan sendiri. Memberi restu, Fatimah menyaksikan Sharifah Amani atau Nani, disatukan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Impact Integrated, Ahmed Faris Amir, 34, pada majlis tertutup di sebuah premis acara di ibu negara, kelmarin.
Fatimah atau mesra digelar Cikgu Fati bersyukur Sharifah Amani bertemu jejaka 'sekepala' dan memahami dirinya.
"Akhirnya, lengkap keempat-empat anak perempuan sudah bergelar isteri orang. "Biarpun dua adik Nani iaitu Sharifah Aryana dan Sharifah Aleysha lebih dulu bertemu jodoh atau melangkah bendul, saya bersyukur dia (Nani) dikurniakan suami yang baik dan serasi. "Alhamdulillah, keluarga mentua pun menerima Nani dengan baik dan begitulah sebaliknya," katanya.
Namun, Fatimah berdoa, Sharifah Amani dan Ahmed Faris atau dipanggil Med, sama-sama menjaga dengan baik bahtera rumah tangga dibina. "Mereka kena jaga, hormat dan sokong antara satu sama lain. "Nani dikurniakan Med dan begitulah sebaliknya... saling melengkapi. Moga bahagia melayari mereka sampai Jannah," katanya.
Fatimah berpesan agar Ahmed Faris dan Sharifah Amani perlu berbuat baik dan menghargai sesama sendiri. "Banyak bersabar kerana mendirikan rumah tangga ini umpama permainan 'roller coaster', ada turun dan naik. "Pandai-pandailah kemudi. Apabila berada dalam dakapan bahagia, jangan lupa diri. "Apabila diuji seperti pepatah 'sedangkan lidah lagi tergigit', usah cepat putus asa. Kena banyak bertolak ansur," pesannya kepada puteri tersayang.
Majlis pernikahan Ahmed Faris dan Sharifah Aminah mencuri perhatian apabila acara simbolik minum air teh Cina turut diselitkan. Menjelaskan perkara itu, Fatimah berkata, sesi minum teh dianggap acara turun-temurun kerana ibunya mempunyai darah keturunan Cina. "Pengantin perempuan diperkenalkan dengan keluarga mentua pada acara minum teh. "Minuman disajikan tidak semestinya teh Cina. Teh bunga atau teh buah pun boleh. Cuma dahulu, jika ikut susur galur tradisi ini sangat dramatik. "Ada kepercayaan dulu-dulu dan pernah berlaku, jika teh yang dihidangkan kepada ibu atau bapa mentua tidak diminum, bererti perkahwinan itu tidak dipersetujui. "Namun, apa yang kami lakukan lebih kepada meneruskan tradisi mengeratkan silaturahim. "Syukur keluarga Med sudi untuk menjayakan sesi minum teh ini," kata isteri kepada Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin ini.
Mengenai cucu, Fatimah sempat berseloroh meminta Ahmed Faris dan Sharifah Amani menghadiahkan dirinya zuriat dengan segera. "Macam suami saya sebut dalam rakaman video yang ditayangkan pada majlis pernikahan, memang dia mahu cucu dengan segera. "Tetapi saya berseloroh dengannya sambil menyebut tiada tekanan hendak bagi cucu kepada kami. "Namun, kalau boleh disegerakan soal itu, tahun depan pun okay sangat," katanya. Fatimah berkata, beliau dan suami kini dikurniakan lima cucu. "Kalau bertambah cucu, lebih 'happening' keluarga kami," katanya. Kelmarin, pada majlis tertutup dihadiri kira-kira 200 tetamu, Sharifah Amani disatukan dengan Ahmed Faris. Pasangan itu dinikahkan Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara merangkap Penolong Pendaftar Nikah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Mohd Rahimi P Ramlee berwalikan bapa pengantin perempuan. Pada majlis berkonsep rona putih hiasan Sanggul Event itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang. Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga. Anggun mengenakan persalinan rona putih rekaan Tangsi Tujuh dan ditatarias adik bongsu, Sharifah Aryana, Sharifah Amani bersyukur perancangan hari bahagia sejak beberapa bulan lalu, lancar. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|