Amy Mastura, 51, memilih untuk tidak menyertai sebarang program realiti nyanyian kerana enggan membuka ruang terhadap kecaman.
Amy berkata, walaupun kerap dipujuk pihak produksi, namun pada usia sekarang dia memilih kehidupan yang lebih tenang tanpa sebarang tekanan. "Saya tak berani nak masuk mana-mana pertandingan nyanyian. Mungkin saya memang jenis tak sukakan tekanan. Kalau boleh saya nak tenang-tenang saja. Biarlah orang kata saya tolak peluang keemasan. Apabila kita memilih kehidupan kurang tekanan bermakna kita juga kena kurangkan dedahkan diri untuk dikritik. "Anugerah dan bakat yang Allah bagi pun bukan untuk saya terlampau terbuka. Maksudnya biarlah saya begini saja, bersederhana dalam kehidupan dan kerjaya. Kali terakhir saya naik ke pentas adalah Super Spontan Superstar 2017 dan ia bukan pertandingan nyanyian," katanya.
Menurut Amy, dia bersyukur apabila kehadirannya dalam dunia seni masih terus bertahan sehingga sekarang. "Apa yang saya cita-citakan dulu tidak sebesar ini, tapi saya bersyukur kerana dari dulu sampai sekarang saya dapat lebih. Sebenarnya waktu itu saya nak buat satu album saja sebab mahu dengar suara sendiri dalam radio, tapi tak sangka terus diterima dan kurang terdedah dengan kontroversi. "Tidak bermakna saya baik kerana tiada kisah sensasi, sebaliknya saya bersyukur Allah jaga aib saya. Lagipun dulu tiada media sosial yang dedah semua perkara. Setakat ini saya tetap berwaspada apabila menggunakan media sosial. Biarlah 'content' biasa-biasa atau tunjuk aktiviti kerja, janji saya tidak melampau," katanya yang pernah menempa nama selepas meraih kejuaraan dalam Asia Bagus 1993 itu.
Amy ditemui pada sesi rakaman program Salam Dari Maya 2 di Taman Melawati, di sini, baru-baru ini. Amy digandingkan dengan Raja Ema untuk program hiburan yang disiarkan menerusi YouTube pada 14 Oktober ini.
Penghibur popular ini turut mendedahkan rasa teruja apabila dapat beraksi dengan ramai rakan seperjuangan sama era untuk acara berkenaan. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|