Hampir berputus asa untuk menyertai mana-mana program lawak selepas gagal lebih lima kali, ternyata percubaan terakhir ini telah mengembalikan semangat peserta asal Kelantan, Zunny untuk mengejar impiannya di dalam dunia komedi.
Bakal bersaing dengan 13 peserta lain di program Awesome Raja Lawak, Zunny tidak mahu mensia-siakan peluang sebaliknya ingin menjadikan platform ini sebagai medan untuk membuktikan bakatnya sebagai pelawak. “Kalau nak bercakap soal kelakar ni, semua orang ada sisi lawak yang tersendiri. Cuma berani atau tidak sahaja utuk tunjukkan kepada khalayak ramai. Jadi, saya putuskan untuk memberanikan diri hadir ke uji bakat untuk tunjukkan bakat skil-skil saya dalam bidang komedi.
“Sebelum ini saya pernah mencuba untuk menyertai program-program lawak hampir lima kali tapi semuanya tiada rezeki. Umur saya pun dah mencecah 30-an. Saya dah cakap dengan diri saya, kalau tiada rezeki juga di sini, saya akan lupakan dunia komedi ini. “Alhamdulillah, perancangan Aallah itu cantik. Saya bersyukur kerana terpilih menjadi 14 peserta akhir yang akan berentap di Awesome Raja Lawak,” katanya kepada MH. Apa yang menariknya, sebelum menyertai pertandingan ini, Zunny merupakan seorang usahawan yang mengusahakan servis mengangkat sampah dari rumah ke rumah. Bagi pemuda berusia 27 tahun ini, dia tidak pernah berasa malu dengan pekerjaannya itu dan turut menganggap tugasnya itu memberi sumbangan yang besar buat masyarakat terutamanya buat penduduk di kampungnya. “Saya bekerja sendiri sebagai pemungut sampah. Jangan salah anggap, saya bukan jenis yang mencari sampah. “Kerja saya adalah menyediakan servis mengangkat sampah dari rumah ke rumah. Ini perusahaan yang saya buat sendiri. Sayalah kuli, saya jugalah bos. Saya banyak beroperasi di kawasan kampung saya yang terletak di Tanah Merah, Kelantan. “Apa yang nak dimalukan. Bukannya pekerjaan yang tidak elok. Saya juga memestikan keadaan persekitaran itu bersih. Kalau tiada saya, siapa yang nak pungut sampah-sampah tu. Jadi, saya bersyukur dengan segala aturan yang telah disusun oleh Allah kepada saya,” ujarnya lagi. Dalam pada itu, bapa kepada tiga orang cahaya mata ini juga mahu memanfaatkan peluang ini untuk mengubah nasib keluarganya ke arah yang lebih baik “Kalau kita lihatkan peserta-peserta terdahulu, rata-rata kehidupan mereka berubah selepas menyertai program-program seperti ini. Jadi, saya berhadap dengan peluang yang diberikan oleh pihak Awesome TV ini, saya juga dapat mengubah kehidupan saya dari segi kewangan dan status. “Jadi, saya mahu memberikan sepenuh komitmen sepanjang menyertai program ini. Bunyinya mungkin agak cliche, tapi memang saya nak ubah kehidupan saya ke arah yang lebih baik. Bukanlah saya nak kata kehidupan saya sebelum ini tak baik, cuma saya mahukan perubahan,” akhirinya. Terdahulu, Awesome Raja Lawak akan bersiaran pada setiap Rabu mulai 7 September ini secara eksklusif di saluran Awesome TV 123 (Astro) dan 112 (MyTV). Program ini bakal dihoskan oleh gandinagn pelawak Chiwan Chilok dan Nizam Jentik-Jentik. Pelawak lagenda, Saiful Apek, Pelakon, Khir Rahman dan selebriti popular, Ayda Jebat akan menggalas tanggungjawab selaku juri tetap.-CARI Sumber: Media Hiburan
|
ADVERTISEMENT