Pendedahan pelakon remaja Puteri Balqis Azizi yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual oleh bapa kandungnya ketika kecil mengejutkan banyak pihak.
Pengakuan yang dibuat menerusi temu bual bersama Bros Gang TV di saluran YouTube itu bukan sahaja mengejutkan tetapi mengundang pelbagai reaksi dan pandangan masyarakat. Selain bersimpati dengan nasib menimpa Puteri Balqis atau lebih mesra dengan sapaan Aqish, segelintir turut mempersoalkan sama ada pelakon remaja itu pernah membuat laporan polis terhadap pelaku atau pun sebaliknya.
Mengupas dari sudut perundangan, peguam Nurul Hafidzah Hassan menjelaskan kesalahan jenayah di Malaysia tidak mempunyai batasan waktu dan seseorang boleh membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang meskipun sesuatu kejadian itu sudah lama berlaku. Meskipun begitu, Nurul Hafidzah menjelaskan kebarangkalian kes menjadi rumit tinggi kerana mangsa mungkin sukar membuktikan dakwaan yang dibuat disebabkan beberapa faktor seperti saksi tidak dijumpai atau meninggal dunia selain bahan bukti sudah tiada. "Bagaimanapun bagi kes gangguan seksual, mangsa sendiri boleh menjadi saksi untuk membawa kes ke mahkamah," katanya kepada mStar. Ditanya mengenai tindakan Aqish berkongsi perkara itu secara umum, Nurul Hafidzah menjelaskan pihak yang membuat sebuah forum untuk berkongsi perkara sedemikian tanpa sabitan di mahkamah akan membuka ruang kepada orang yang diperkatakan untuk memfailkan saman fitnah terhadap mereka. "Kes ini boleh menjadi lebih besar dan rumit sekiranya si pelaku berniat untuk mengambil tindakan mahkamah. Pihak mereka juga perlu bertanggungjawab kepada setiap komen yang mungkin berbaur fitnah dan boleh dijadikan tuntutan untuk didakwa.
|
ADVERTISEMENT