Seorang guru berusia 49 tahun ditahan polis kerana didakwa memukul pelajarnya menggunakan rotan. Kejadian tersebut berlaku ketika guru berkenaan mengajar di sebuah sekolah menengah, pada pagi Rabu lalu.
Sekolah tersebut terletak di Sorawolio di Bandar Baubau di Sulawesi, Indonesia. Salah seorang pelajar mendedahkan bahawa dia telah dirotan sebanyak enam kali. "Walaupun soalan telah dijawab, dia tetap memukul saya di punggung menggunakan rotan, ada enam kali," katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Sementara itu, ibu bapa kepada pelajar itu terkejut apabila melihat anak mereka menangis sebaik pulang ke rumah sekitar pukul 9 pagi. "Saya tanya kenapa pulang? Katanya dipukul oleh gurunya. "Saya terus ke sekolah bertemu dengan guru dan pengetua," katanya. Enggan menerima tindakan yang dibuat oleh guru tersebut, ibu bapa pelajar itu membuat laporan polis. Hasil siasatan mendapati bukan hanya seorang pelajar yang dirotan, tetapi kira-kira 20 pelajar turut dikenakan tindakan sama. "Dipercayai guru tersebut sering membawa rotan setiap kali mengajar, ini bermakna dia sudah mempunyai niat yang tidak baik," kata Ketua Polis Baubau, Erwun Pratomo pada Khamis. Dilaporkan, guru berkenaan mengakui perbuatannya yang memukul para pelajarnya menggunakan rotan. Susulan itu, suspek ditahan polis dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara. -CARI Sumber: mStar/ Kompas
|
ADVERTISEMENT