Pendakwah, Don Daniyal menjelaskan tidak salah untuk berhibur dengan menghadiri konsert, khususnya melibatkan artis luar negara.
Menurutnya, adalah lebih baik diwujudkan satu garis panduan berkaitan konsert daripada mengharamkan terus penganjuran persembahan berskala besar. “Pendirian saya tetap selari dengan mufti, perkara yang melibatkan maksiat, jangan sokong. Tetapi, jangan kita terus menghukum, menjatuhkan dosa kepada semua. “Konsert itu apa hukumnya? Kalau konsert itu haram, jadi konsert nasyid juga haram? Kita kena ada garis panduan bagaimana orang Islam hendak ke konsert.
“Kita juga kena tengok secara holistik. Konsert artis luar negara, misalnya dapat membantu sektor pelancongan dan ekonomi negara. Kita kena bagi cadangan dan jalan keluar,” katanya kepada Utusan Malaysia. Terdahulu, Pencetus Ummah (PU) Syed menggesa pihak berkuasa membatalkan konsert membabitkan artis luar negara kerana berpendapat ia perbuatan lagha dan berhasrat melakukan protes sekiranya pihak berkuasa berdiam diri. “Jangan ada bias. Asatizah dan artis perlu bersahabat. Janganlah kita rasa kita mulia dan semua artis itu pendosa. Kita juga pendosa. “Malaysia juga negara majmuk. Jangan fikir umat Islam sahaja. Kita kena fikir secara menyeluruh, tanpa meninggalkan mana-mana kaum, agama dan sensitiviti. “Contohnya garis panduan itu. Kita buat tempoh percubaan, kalau berjaya kita laksana. Perlahan-lahan, bertenang,” katanya.
|
ADVERTISEMENT