Penerbit dan pelakon, Datuk Yusof Haslam mendedahkan bayaran yang ditawarkan oleh stesen TV kepada penerbit drama tempatan pada masa kini masih sama seperti tiga dekad lalu dan dianggap tidak masuk akal untuk era masa kini.
"Harga yang dibayar adalah harga 30 tahun lalu. Dah lepas tiga dekad, ia masih sama. Sepatutnya setiap 10 tahun harus ada penambahan. Kerja apa pun ada penambahan tetapi ini tidak.
"Contoh mudah, saya jual roti canai di Restoran Haslam 30 sen ketika zaman saya buat drama dulu. Sekarang dah RM1.50. Bayaran kru dulu RM100, sekarang dah RM2,000.
"Stesen TV kena naikkan bayaran sebab kalau tidak produksi yang akan menjadi mangsa," katanya kepada Harian Metro.
Katanya lagi, dalam isu sebegitu adakalanya pelakon turut terkena tempias sama walaupun ia situasi itu jarang-jarang menimpa barisan aktor dan aktres sesebuah drama.
"Pelakon jarang jadi mangsa sebab kalau ambil pelakon terkenal, mereka meletakkan harga seperti mana mereka terima daripada stesen televisyen premium.
"Itu yang menjadi masalah kita kerana orang akan salahkan produksi sedangkan kita pun berdepan masalah. Saya dah jadi penerbit drama sejak 1985 dan dah tahu sepak terajang dunia penerbitan.
"Bezanya, dulu lain dan sekarang lebih mencabar," katanya.
Untuk info, Yusof menerusi Skop Productions menerbitkan pelbagai drama tempatan termasuklah Remang-Remang Kota Raya pada 1985, Gerak Khas dan yang baharu adalah Kuasa. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My