Rakyat Finland digesa menurunkan suhu termostat mereka pada musim sejuk ini, memendekkan masa mandi dan sauna mereka bagi menjimatkan tenaga.
Langkah itu disebabkan Eropah kini menghadapi masalah tenaga berikutan perang Rusia di Ukraine. Kempen penjimatan kuasa di seluruh negara diumumkan minggu ini selepas Rusia memotong bekalan gas ke Finland dan negara Eropah lain dalam beberapa bulan kebelakangan ini hingga menyebabkan harga tenaga melambung tinggi. Jurucakap di syarikat milik kerajaan Motiva yang menggalakkan kelestarian, Kati Laakso memberitahu AFP, Kempen A Degree Lower itu akan dilancarkan pada 10 Oktober ini.
Katanya, dengan harga tenaga yang melambung tinggi, kempen itu juga akan menggesa warga Finland untuk menghabiskan lebih sedikit masa untuk hiburan elektronik, mematikan pemanasan garaj dan menjimatkan petrol dengan memandu lebih perlahan. "Ini hanyalah beberapa pilihan. Kami berharap orang ramai akan mengikut saranan secara sukarela dan memahami keadaan bahawa kami sedang menuju ke musim sejuk yang sukar. "Mungkin orang tidak perlu menghidupkan sauna setiap hari. Mungkin seminggu sekali," katanya. Syarikat itu ialah penganjur kempen dengan kerjasama kerajaan Finland dan pihak berkuasa tenaga. Selain mengurangkan pemanasan dan mandi lebih pendek, warga Finland akan digalakkan untuk mengurangkan masa bersauna. Dengan anggaran tiga juta sauna untuk 5.5 juta orang, mandian wap adalah institusi tradisional Finland. Ini adalah kali pertama kempen penjimatan tenaga diperkenalkan di Finland sejak krisis minyak pada tahun 1970-an. Pada Mei lalu, syarikat terbesar tenaga Rusia, Gazprom menghentikan bekalan ke negara jiran Finland selepas Helsinki enggan membayar bilnya dalam mata wang Rusia, yang dituntut Moscow dalam usaha untuk mengetepikan sekatan kewangan dan memaksa pelanggan tenaga Eropah untuk menyokong bank pusatnya. Pada 2021, Gazprom membekalkan kira-kira dua pertiga daripada penggunaan gas negara tetapi hanya lapan peratus daripada jumlah penggunaan tenaganya. Gasum, syarikat tenaga milik kerajaan Finland pula berkata, mereka akan menggunakan sumber lain seperti saluran paip Balticconnector, yang menghubungkan Finland dengan rakan ahli Kesatuan Eropah (EU) Estonia. Sumber: Harian Metro
|
adm7 replied at 28-8-2022 10:09 PM
Sementara tu kat malaysia ramai rakyat masih bebas ke sana ke mari bercuti2, pasang segala lampu,kip ...
ADVERTISEMENT