Persatuan Dukun Indonesia tampil membuat laporan polis terhadap Marchel Radhival atau lebih dikenali sebagai Pesulap (Ahli Silap Mata) Merah yang dikatakan telah menghina profesion ahli bomoh.
Memetik laporan CNN Indonesia, laporan polis tersebut dibuat oleh wakil persatuan, Agustiar di Balai Polis Metro Jakarta Selatan selepas beberapa bomoh mendakwa kehilangan pendapatan akibat kandungan media sosial yang dimuat naik oleh Marchel.
Ketua Polis wilayah itu, Yandri Irsan berkata, ahli silap mata itu didakwa membuat penghinaan terhadap kerjaya bomoh menerusi pelbagai kandungan dalam YouTube dan Instagram.
Jelasnya, Marchel ada mengatakan bahawa individu yang bekerja sebagai dukun adalah seorang penipu.
"Berdasarkan laporan persatuan dukun, mereka berasa terganggu dan terancam dengan kandungan yang dimuat naik oleh lelaki itu.
"Malah, ada juga dukun yang mengaku kehilangan pelanggan disebabkan kandungan yang dibuat Marchel," kata Yandri.
Marchel dan wakil Persatuan Dukun, Agustiar
Kata Yandri lagi, individu yang membuat laporan polis turut menyerahkan sejumlah bukti dan pihaknya sedang meneliti laporan dengan menjalankan soal siasat terhadap saksi. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My