Sumber mStar
Jantina, usia, latar belakang mahupun saiz fizikal seseorang bukanlah penghalang untuk meminati atau memiliki hobi tertentu.
Memetik perkongsian mStar, gadis Kelantan berusia 19 tahun, Nur Elisa Shafika Mohd Bakri ini mula meminati permotoran sejak zaman kanak-kanak lagi, namun menjadikan aktiviti itu sebagai hobi selepas tamat persekolahan.
Selesa disapa sebagai Icha, gadis itu kerap berkongsi video mengenai hobinya menerusi aplikasi TikTok sehingga salah satu video miliknya meraih setengah juta penonton.
Pun begitu, di sebalik sokongan daripada netizen, ada juga segelitir pengguna aplikasi tersebut yang mengecam mengenai fizikalnya.
"Sejujurnya, saya terkejut apabila video tular. Setiap video ada komen kecaman, seolah-olah menghina saya. Pada saya, boleh nak komen tapi jangan sampai menghina.
"Tapi, nak buat macam mana? Sebab itu hobi saya. Rasa sedih itu ada tapi saya tapi saya tak putus semangat. Biarlah orang hina.
"Ada sekali tu, seseorang komen, dia kata kesian dekat motor. Kalau motor boleh bercakap, mesti motor penat. Itu antara komen yang saya ingat." katanya.
Bagaimanapun, kata gadis itu, dia bersyukur kerana masih ramai memberi sokongan kepadanya menerusi media sosial.
Dedahnya, ada juga kaum hawa menghantar mesej kepadanya memohon tunjuk ajar untuk menceburi hobi permotoran itu.
"Kadang-kadang apabila saya keluar, ada orang datang tegur. Mereka kata kenal saya melalui video viral TikTok," ulasnya yang sebelum ini berhadapan dengan tetangan keluarga. - CARI