Sekumpulan individu terpaksa mengusung jenazah wanita sejauh 13 kilometer (km), gara-gara sebuah pusat kesihatan didakwa enggan meminjamkan ambulans.
Menerusi satu video tular, kejadian yang dipercayai berlaku di Mamuju di Sulawesi Barat, Indonesia, pada Selasa lalu menunjukkan beberapa orang berjalan kaki mengusung keranda di jalan raya. Mengesahkan kejadian yang berlaku, Fenny Tadius yang merupakan anak saudara kepada jenazah menjelaskan ibu saudaranya dirawat di sebuah pusat kesihatan, Isnin lalu, lapor Kompas. Namun, keadaan ibu saudaranya semakin tenat sehingga keluarga mahu membawanya pulang untuk dirawat di rumah.
"Maka pihak keluarga meminta pihak pusat kesihatan untuk menghantar ibu saudaranya pulang kerana keluarga fikir bahawa apabila orang tua kami meninggal dunia, tidak akan diantar oleh ambulans. "Ini kerana terdapat kenyataan daripada pihak pusat kesihatan bahawa ambulans tidak boleh menghantar jenazah," kata Fenny kepada Kompas.com pada Ahad. Bagaimanapun kata Fenny, permintaan keluarganya ditolak pusat kesihatan tersebut. Pasrah dengan keadaan itu, keluarga Fenny menjaga ibu saudaranya sehingga meninggal dunia pada Selasa. Fenny dan keluarganya mengakui kecewa meskipun ibu saudaranya meninggal dunia, pihak pusat kesihatan tetap menolak untuk menghantar jenazah. Pusat kesihatan didakwa menegaskan bahawa ambulans hanya digunakan untuk membawa pesakit yang sedang sakit. Keadaan tersebut membuatkan keluarganya terpaksa mengusung jenazah pulang ke rumah sejauh 13km. Susulan kejadian yang tular, ketua daerah Mamuju, Sutinah Suhardu memohon maaf dan kesal dengan tindakan pusat kesihatan berkenaan yang tidak mempunyai inisiatif untuk menghantar jenazah. Menyiasat perkara itu, Sutinah turut mengarahkan semua ketua pusat kesihatan supaya mengendalikan penghantaran jenazah dari pusat kesihatan ke rumah pengebumian sekiranya tidak berlaku kecemasan di pusat masing-masing. Sumber: mStar |
ADVERTISEMENT