Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kesal atas pembunuhan monyet di Brazil ketika kebimbangan penularan cacar monyet.
Laman web berita Brazil G1 pada Ahad lalu melaporkan, 10 monyet diracun dalam tempoh kurang seminggu di bandar Sao Jose do Rio Preto, di negeri Sao Paulo. Kejadian sama dilaporkan berlaku di bandar lain. Ketika demam kuning berlaku, Brazil mempunyai rekod serangan yang banyak terhadap monyet. Jurucakap WHO, Margaret Harris berkata, penularan boleh berlaku daripada haiwan kepada manusia, namun wabak baru-baru ini berkaitan dengan manusia sahaja.
"Orang ramai perlu tahu penularan yang kita lihat sekarang adalah dalam kalangan manusia. "Orang ramai tidak boleh menyerang haiwan itu," katanya pada sidang media di Geneva. Brazil merekodkan lebih 1,700 kes cacar monyet, menurut WHO. Kementerian kesihatan negara itu mengesahkan, satu kematian berkaitan penyakit itu dikesan pada 29 Julai lalu. Mangsa adalah seorang lelaki yang mempunyai imuniti rendah dan penyakit komorbiditi. Sejak Mei lalu, hampir 90 negara melaporkan lebih 29,000 kes cacar monyet. WHO mengklasifikasikan wabak penyakit yang jarang berlaku itu sebagai kecemasan antarabangsa pada Julai lalu. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT