Model terbaru kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza meraih permintaan tinggi sejurus dilancarkan pada 20 Julai lalu.
Dikhabarkan, ramai pelanggan terpaksa menunggu giliran untuk memiliki kenderaan itu yang dijual pada harga bermula RM62,500. Namun, lain pula ceritanya di Facebook apabila seorang individu mendakwa dia berjaya 'memotong' giliran kerana sepupu bapanya bekerja sebagai pengurus di sebuah cawangan Perodua. Dalam posting sama yang dikongsi semula Facebook Brainless Driver Malaysia Edition, wanita itu memanjatkan rasa syukur kerana urusannya dalam memiliki kereta idaman dapat dilalui dengan lancar dan mudah.
Rata-rata netizen menyelar kenyataan wanita itu yang dilihat dangkal kerana bersyukur dapat memiliki kereta melalui sistem yang tidak adil. Malah, netizen meluahkan rasa berang kerana masih wujud individu yang tergamak menggunakan 'kabel' dan menyalah guna kuasa untuk kepentingan sendiri. Untuk rekod, model Perodua Alza serba baharu yang itu menerima lebih 30,000 tempahan sejak dibuka tempahannya pada 23 Jun lalu, lapor The Star. Kereta itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu majlis yang diadakan di ibu negara pada 20 Julai lalu. Perodua Alza serba baharu dijual secara rasmi pada harga RM62,500 untuk varian X, RM68,000 untuk varian H dan RM75,500 untuk varian AV (harga di Malaysia Barat dan tanpa insurans). Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT