Polis meminta saksi kejadian kes bakar remaja lelaki berusia 15 tahun di Kampung Perasing Jaya, Jabor, Kemaman, tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada awal pagi Jumaat lalu dan disaksikan beberapa individu lain. “Kita percaya terdapat beberapa individu yang membantu mangsa memadam api di badannya dan membawa mangsa pulang ke rumahnya, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian selepas dibakar. “Polis anggap kes ini serius kerana mangsa berkemungkinan mengalami kecacatan kekal pada anggota badannya,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kemaman, hari ini.
Hanyan berkata, kejadian tersebut dipercayai berpunca remaja itu dituduh mencuri wang RM100. Menurutnya, remaja yang keciciran sekolah itu dipercayai disimbah minyak sebelum dibakar api menyebabkan dia melecur dari leher hingga bahagian depan dan belakang badan. Mangsa yang melecur kira-kira 40 peratus kini dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang. Susulan itu, enam lelaki berusia 18 hingga 28 tahun ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Sumber: UTUSAN |
ADVERTISEMENT